KUALA LUMPUR, 5 MAC – Ketua Jurulatih Buriram United Osmar Loss yakin skuad kendaliannya mampu mencipta kejutan menewaskan juara Liga Super musim ini Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACL Elite) 2024/25, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa depan.
Loss menyuarakan keyakinan itu selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Buriram malam tadi, sekaligus mengintai peluang untuk mara ke suku akhir di Arab Saudi bulan depan.
Beliau berkata setiap perlawanan menentang JDT memberikan cabaran berbeza tetapi menegaskan pasukannya mempunyai masa seminggu untuk membuat persiapan bagi mencipta kejutan menewaskan skuad Harimau Selatan di gelanggang sendiri.
“Setiap perlawanan yang kami lalui adalah berbeza. Pada perlawanan pertama peringkat liga, Buriram United menerima kad merah pada penghujung babak pertama, tetapi hari ini ia adalah perlawanan berbeza kerana kedua-dua pasukan bermain dengan 11 pemain sepanjang 90 minit. – Bernama
