BEIRUT, 1 JUN – Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) hari ini memberi amaran bahawa pekerja migran di negara-negara Teluk berdepan risiko akibat cuaca panas melampau dan menggesa negara-negara berkenaan agar memperluas perlindungan kepada buruh yang terdedah kepada suhu tinggi.
Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar dan Kuwait – di mana pekerja migran membentuk sebahagian besar tenaga kerja – terletak di antara kawasan paling panas di dunia, dengan suhu musim panas sering mencecah hampir 50 darjah Celsius.
“Setiap musim panas mendedahkan bagaimana krisis iklim memburukkan lagi bencana kesihatan dan keselamatan pekerjaan bagi jutaan pekerja migran yang terdedah secara berbahaya kepada cuaca panas melampau,” kata Timbalan Pengarah HRW bagi Timur Tengah, Michael Page.
“Disebabkan negara-negara Teluk masih berlengah-lengah dalam melaksanakan perlindungan buruh berasaskan bukti, pekerja migran terus mati, mengalami kegagalan buah pinggang dan menderita penyakit kronik lain,” tambahnya.
Negara-negara Teluk yang kaya bergantung sepenuhnya kepada jutaan pekerja migran – terutamanya dalam sektor pembinaan – yang kebanyakannya berasal dari India dan Pakistan. Bulan lalu, UAE memecahkan rekod suhu tertinggi bagi bulan Mei untuk hari kedua berturut-turut dengan catatan 51.6 darjah Celsius.

Bagi melindungi buruh, negara-negara Teluk melaksanakan larangan kerja di bawah cahaya matahari secara langsung dan di kawasan terbuka semasa waktu puncak panas dari pertengahan Jun hingga pertengahan September menerusi dasar ‘rehat tengah hari’ yang telah lama diamalkan.
Namun, memandangkan rantau Teluk sangat terdedah kepada perubahan iklim, HRW menyatakan “keadaan panas melampau kini berlaku lebih awal dan lebih kerap, iaitu seawal bulan Mei,” sebelum larangan rehat tengah hari mula berkuat kuasa.
Seorang juruelektrik di Kuwait yang ditemu bual oleh pertubuhan hak asasi berpangkalan di New York itu berkata dia sering mengalami pening, muntah, sakit kepala dan penglihatan kabur ketika bekerja pada musim panas dan ramai pekerja rebah akibat cuaca panas.
HRW menggesa pihak berkuasa dan majikan supaya meninggalkan pendekatan larangan waktu kerja berasaskan calendar dan beralih kepada langkah berasaskan risiko bagi menilai tekanan haba pekerjaan.
Saintis telah membuktikan bahawa gelombang haba berulang merupakan penanda jelas pemanasan global dan bahawa gelombang haba itu akan menjadi lebih kerap, lebih lama dan lebih teruk.
Bilangan hari panas melampau di seluruh dunia telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tiga dekad lalu.
Menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi tahun 2024 – sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – pekerja luar di negara-negara Arab merupakan antara golongan paling terdedah kepada tekanan haba di dunia, dengan 83.6 peratus daripadanya mengalami pendedahan haba berlebihan semasa bekerja. – AFP

