NAIROBI, 29 JULAI – Burundi, salah sebuah negara terakhir di dunia yang memulakan kempen inokulasi COVID-19 ke atas penduduknya, berkata ia telah bersetuju untuk menerima vaksin Covax, namun dengan satu syarat.
Keputusan itu diambil sehari selepas IMF bersetuju dengan pakej bantuan berjumlah AS$78 juta untuk membantu Burundi mengatasi kesan pandemik COVID-19.
Menteri Kesihatan Thaddee Ndikumana mengumumkan semalam bahawa Burundi akan menerima vaksin Covax yang ditawarkan Bank Dunia, namun enggan menandatangani pengecualian bayaran yang dikatakannya dituntut oleh syarikat farmaseutikal.
Burundi serta Eritrea, Haiti dan Korea Utara adalah negara yang masih belum memulakan kempen imunisasi COVID-19, selepas Tanzania melancarkan kempen vaksinasi semalam.
Sehingga sekarang, kerajaan enggan menyertai inisiatif Covax, berkata ia tidak mahu vaksin yang masih berada ‘pada peringkat uji kaji.’
Burundi akan menggunakan mekanisme pembiayaan Bank Dunia untuk membenarkan negara membangun membeli vaksin COVID-19 secara kolektif menerusi Covax.
Namun menteri itu menegaskan Burundi tidak akan menandatangani borang yang dikatakannya menuntut kerajaan membayar pampasan kepada mangsa sekiranya terdapat kesan sampingan daripada suntikan tersebut. – AFP