AUSTRALIA – Dengan kaki seakan velociraptor dan leher berwarna biru neon terang, burung kasuari selatan kelihatan amat menggerunkan di hutan hujan timur laut Australia.
Oleh itu, adalah amat baik untuk mengagumi burung bersaiz manusia itu dari jauh, kerana burung itu mempunyai cakar sepanjang empat inci dan setajam mata pisau.
“Ia adalah dinosaur dunia moden,” kata Peter Rowles, presiden kumpulan masyarakat yang melindungi burung terancam ini.
Memiliki sifat mempertahankan habitat tempat tinggal, apabila diancam ia akan mendesir dan menghasilkan bunyi yang dalam.
“Apabila awda bertentang mata dengannya buat pertama kali, ia boleh jadi menakutkan, kerana ia mempunyai mata yang besar, dan ia akan terus melihat ke arah awda dan ia juga kelihatan agak garang,” kata Rowles.





Burung yang tidak dapat terbang itu hanya boleh ditemui di Australia, New Zealand dan di beberapa pulau di rantau Pasifik.
Kerajaan Australia menyenaraikannya sebagai spesies terancam dan menganggarkan hanya 4,500 ekor yang tinggal di alam liar.
Ia dianggap sebagai ‘spesies penting’, bermakna ia memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan biodiversiti dan membantu menyebarkan biji benih di dalam hutan hujan.
Jika burung kasuari pupus, hutan hujan akan terjejas.
“Kami berfikir sekiranya kami dapat menyelamatkan kasuari, kami juga dapat menyelamatkan banyak habitat untuk memastikan kelangsungan spesies lain,” jelas Rowles.
Kumpulannya telah melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan burung tersebut, yang mempunyai ketinggian 1.5 meter dan boleh mencecah berat 75 kilogram.
Ia termasuk membuat papan tanda meminta pemandu untuk memperlahankan kenderaan, mereka bentuk semula jalan raya untuk melindungi habitat asal dan mengendalikan hospital kasuari untuk burung-burung yang cedera.
Ancaman utama terhadap kasuari adalah dilanggar kereta, pemusnahan habitat asal, serangan anjing dan perubahan iklim.
“Burung kasuari tidak menjadi agresif apabila ia dilayan dengan baik,” kata Rowles, dengan beberapa rekod kematian disebabkan spesies itu.
Seorang budak lelaki Australia terbunuh pada 1926 selepas dia mengejar burung itu, yang mencederakan urat jugulamnya, sementara seorang lelaki Florida juga menerima nasib yang sama pada 2019 apabila kasuari peliharaannya menyerangnya.
Dalam tempoh 300 tahun lalu, kira-kira 100 spesies flora dan fauna unik Australia telah lenyap dari planet ini.
Kadar kepupusan itu berkemungkinan akan meningkat, menurut Tabung Alam Sekitar Dunia (WWF).
“Banyak yang harus dilakukan dan sumber-sumber tidak tersedia untuk memberikan impak signifikan,” kata Darren Grober, pemangku ketua pegawai pemuliharaan WWF Australia.
“Kita melihat kira-kira 2,000 spesies dalam senarai spesies terancam kerajaan Australia dan lebih banyak spesies yang dimasukkan ke dalam senarai ini setiap tahun,” tambahnya.
Ancaman termasuk perubahan iklim, kehilangan habitat dan spesies invasif, kata Grover.
Kerajaan Australia sedang melaksanakan pelan pemulihan kebangsaan demi menyelamatkan burung kasuari ikonik ini, sama seperti spesies lainnya, termasuk bekerjasama dengan penduduk asli dan kumpulan pemuliharaan.
Kebanyakan usaha pemuliharaan negara itu memfokuskan kepada perlindungan spesies penting, satu konsep yang dibangunkan oleh ahli zoologi pada 1960an.
Grover berkata ia merupakan pendekatan terbaik apabila sumber-sumber adalah terhad, kerana ia memberikan kesan berterusan kepada haiwan lain di habitat berkenaan.
Walau bagaimanapun, Grover mengingatkan bahawa strategi itu bukan penyelesaian sepenuhnya. “Saya tidak berfikir kita dapat melakukan secukupnya untuk menyelamatkan hidupan liar kita di Australia.”
“Kasuari merupakan spesies yang menakjubkan dan mana-mana sahaja awda dapat melihatnya di alam liar adalah sangat hebat,” katanya.
“Tetapi berhati-hati kerana ia adalah burung yang mempunyai sifat mudah marah, ia besar dan kuat dan kita harus memberikannya sedikit ruang.”- AFP

