PATERZELL, JERMAN – Spesies burung northern bald ibis atau ibis botak utara, yang hampir pupus di Eropah akibat pemburuan pada abad ke-17, kini berjaya dipulihkan melalui usaha pembiakan dan pemulihan habitat dalam tempoh dua dekad lalu.
Namun, burung itu – yang dikenali dengan bulu hitam dan hijau berkilau, kepalanya yang botak berwarna merah, serta paruh panjang yang melengkung – secara semula jadinya tidak tahu arah yang betul untuk berhijrah tanpa panduan daripada burung tua yang lahir di alam liar. Oleh itu, sekumpulan saintis dan pemuliharaan bertindak sebagai ibu bapa angkat dan jurulatih penerbangan bagi membantu burung-burung itu.
“Kami perlu mengajar burung tersebut laluan migrasi,” kata ahli biologi, Johannes Fritz.
Ibis botak utara dahulunya bebas terbang di Afrika Utara, Semenanjung Arab dan sebahagian besar Eropah, termasuk Bavaria di selatan Jerman. Namun, spesies burung migrasi itu juga dianggap sebagai makanan istimewa, dikenali sebagai Waldrapp dalam bahasa Jerman menyebabkan populasinya lenyap dari Eropah, walaupun beberapa koloni kecil bertahan di tempat lain.
Sejak projek Fritz dan pasukan pemuliharaan Waldrappteam dari Austria bermula pada tahun 2002, populasi burung tersebut di bahagian tengah Eropah meningkat dari sifar kepada hampir 300 ekor.
Usaha tersebut telah mengeluarkan spesies tersebut daripada kategori ‘kritikal terancam’ kepada ‘terancam’ dan merupakan percubaan pertama memperkenalkan semula spesies burung migrasi yang telah pupus di benua tersebut.
Walaupun ibis botak utara masih menunjukkan naluri semula jadi untuk berhijrah, namun ia tidak tahu ke arah mana untuk terbang tanpa bimbingan burung-burung tua yang dilahirkan liar.
Percubaan awal Waldrappteam gagal kerana tanpa mengajar burung tersebut laluan migrasi, kebanyakannya hilang tidak lama selepas dilepaskan.
Burung-burung tersebut, yang sepatutnya terbang ke kawasan musim sejuk seperti Tuscany, Italy, akan tetapi terbang ke arah berlainan dan akhirnya mati.
Sebagai langkah penyelesaian, pasukan Waldrappteam bertindak sebagai ‘ibu bapa’ dan ‘jurulatih penerbangan’ bagi populasi ibis botak utara di bahagian tengah Eropah, yang terdiri daripada keturunan burung dari pelbagai zoo yang dibebaskan ke habitat liar dengan harapan untuk membentuk kumpulan burung migrasi. Pada tahun ini, ia merupakan penghijrahan ke-17 yang dipimpin oleh manusia dan kali kedua burung tersebut terpaksa mengubah laluan baharu ke Sepanyol akibat perubahan iklim.
Untuk persiapan perjalanan, anak burung diambil daripada koloni pembiakan beberapa hari selepas menetas. Ia dimasukkan ke dalam sangkar burung dan dipelihara oleh ibu bapa angkat manusia, dengan harapan agar dapat kepercayaan yang membolehkan burung mengikuti laluan migrasi yang ditetapkan.
Barbara Steininger, salah seorang ibu angkat pasukan Waldrappteam, menganggap dirinya sebagai ‘ibu burung’ kepada burung ibis berekor botak utara.
“Kami memberinya makan, membersihkan sarang dan memastikan burung itu sihat. Kami juga berinteraksi dengannya,” katanya.
Dalam satu pemandangan yang luar biasa, ibu bapa angkat duduk di belakang pesawat ringan, melambai dan memberi semangat melalui pembesar suara ketika terbang di udara.
Pesawat itu kelihatan seperti go-kart terbang dengan kipas besar di belakang dan payung terjun kuning yang menjaga kestabilannya di udara. Walau bagaimanapun, 36 ekor burung mengikuti pesawat tersebut, yang dipandu oleh Fritz, terbang di atas padang rumput alp dan lereng bukit.
Fritz, mendapat ilham daripada Father Goose oleh Bill Lishman, seorang penulis yang mengajar burung angsa Kanada terbang bersama pesawat ringan pada tahun 1988. Dia kemudian membimbing kren Amerika yang terancam melalui laluan selamat dan mengasaskan organisasi bukan untung, Operation Migration. Usaha Lishman menjadi inspirasi filem 1996, Fly Away Home, yang menampilkan seorang gadis muda sebagai ‘ibu angsa’.
Seperti Lishman, usaha Fritz dan pasukannya telah berjaya mengajar burung ibis botak utara dengan laluan penghijrahannya. Pada tahun 2011, burung pertama berjaya berhijrah semula dari Tuscany ke Bavaria dan semakin banyak burung kini mengikuti laluan sepanjang lebih 550 kilometer (km) setiap tahun dan pasukan tersebut berharap populasi di bahagian tengah Eropah akan mencapai lebih daripada 350 ekor burung menjelang 2028 dan menjadi populasi yang mampu berdikari.
Namun, kesan perubahan iklim menyebabkan ibis botak utara kini berhijrah lebih lewat dalam musim, terpaksa merentasi Banjaran Alps dalam cuaca yang lebih sejuk dan berbahaya, tanpa bantuan arus udara panas yang dikenali sebagai thermals, yang membantu burung-burung itu terbang tanpa menggunakan tenaga tambahan.
Sebagai tindak balas, Waldrappteam mencuba laluan baharu pada tahun 2023, dari Bavaria ke Andalusia di selatan Sepanyol.
Tahun ini, laluan perjalanannya adalah kira-kira 2,800km lebih kurang 300km lebih panjang berbanding laluan tahun lepas. Pada bulan lalu, dari lapangan terbang di Paterzell, di Bavaria, pasukan tersebut membimbing 36 ekor burung di sepanjang perjalanan di bawah langit biru cerah dan angin yang mendorong meningkatkan kelajuan.
Keseluruhan perjalanan ke Sepanyol boleh mengambil masa sehingga 50 hari dan dijangka tamat pada awal Oktober. Tetapi Fritz berkata, usaha itu lebih besar daripada sekadar membantu ibis botak utara yang mana ia adalah mengenai membuka jalan bagi spesies burung penghijrah terancam lain untuk terbang. – AP