Burung helang kaki hitam itu hanya sebesar burung pipit, tetapi jangan biarkan saiznya memperdaya awda kerana burung kecil itu merupakan pemangsa yang kejam dan mampu membunuh mangsa sebesarnya.
Menurut laporan Oddity Central, burung kaki hitam dikenali sebagai burung helang Bornean atau nama saintifiknya Microphierax latifrons dan burung helang paha hitam dengan nama saintifiknya Microhierax fringillarius berkongsi gelaran sebagai burung pemangsa terkecil di dunia.
Dengan badan hanya 14 hingga 16 sentimeter panjang, rentang sayap 27 hingga 32 cm, dan hanya beberapa gram beratnya, burung helang paha hitam pasti tidak terdengar seperti pemburu yang paling berkesan, tetapi penampilannya yang comel boleh memperdaya. Ini kerana ia adalah pemangsa kecil yang tangkas memakan serangga seperti rama-rama, pepatung, anai-anai dan belalang. Namun ia juga boleh menyerang burung kecil, cicak bahkan mamalia seperti kelawar kecil.
Pemangsa cilik ini tidak biasa bersosial, tidak seperti burung pemangsa lain yang berburu dalam kumpulan besar. Burung yang banyak didapati di Brunei, Myanmar, Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia ini walau bagaimanapun amat mudah beradaptasi dan bertoleransi terhadap gangguan habitatnya.
Tiada data rasmi tentang jumlah sebenar populasi burung ini namun Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa menyenaraikan Microhierax fringillarius sebagai spesies yang memerlukan perhatian. – Agensi