BUSA adakan aktiviti riadah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Persatuan Amerika Syarikat (AS) Brunei (BUSA) baru-baru ini telah mengadakan aktiviti riadah menaiki Bukit Dadap, Kilanas, turut disertai lebih kurang 40 orang peserta yang terdiri daripada Alumni YSEALI.

Turut menyertai riadah berkenaan ialah Pegawai Perhubungan Awam Daniel Lee, dari Kedutaan AS di Brunei Darussalam dan Presiden BUSA, Dayang Salimah binti Haji Saim.
Riadah mendaki bukit berkenaan bermula dengan taklimat keselamatan, dan diteruskan dengan perjalanan mendaki bukit menuju ke Wasai Kandal dan Wasai Dadap.

Sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih daripada sejam itu, para peserta berpeluang menyaksikan pemandangan flora dan fauna dan melihat lebih dekat pemandangan air terjun yang menarik.

Aktiviti seumpama ini, bukan sekadar aktiviti sosial BUSA tetapi juga bagi mempromosi gaya hidup sihat dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara Alumni Brunei-AS dan Kedutaan AS di Brunei Darussalam.