Friday, April 25, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BUSA hulur sumbangan sempena Ramadan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    TEMBURONG, 17 MAC – Dalam semangat berkongsi kasih di bulan Ramadan yang mulia, Persatuan Brunei-Amerika Syarikat (BUSA) dan Persatuan Alumni NTU (NTUAA) telah bekerjasama dalam program tahunan Kasih Ramadan, dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan penjagaan diri kepada keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan di kawasan pedalaman di Daerah Temburong.

    Inisiatif bersama ini mencerminkan kekuatan komuniti dan kerjasama alumni, di mana sukarelawan daripada kedua-dua persatuan telah mengedarkan 16 jenis barangan keperluan harian kepada komuniti yang kurang berkemampuan, membawa sinar harapan, kehangatan dan jalinan kasih di sepanjang bulan Ramadan.

    Program tahun ini turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland; Timbalan Ketua Misi, Stacy Lomba; serta Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Hannah Doyle.

    Penglibatan aktif mereka dalam penyampaian sumbangan dan interaksi bersama masyarakat setempat memberikan dimensi yang lebih bermakna kepada program ini.

    Sokongan berterusan daripada Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei (BFWDA) sekali lagi memainkan peranan penting dalam membantu para sukarelawan menyampaikan bantuan ke kawasan pedalaman di daerah ini. Kerjasama erat antara BUSA, NTUAA dan BFWDA telah memperkukuhkan lagi impak program ini, serta menyerlahkan komitmen bersama dalam khidmat masyarakat dan penglibatan alumni yang bermakna.

    GAMBAR SERAHAN BUSA
    Ahli-ahli BUSA dan NTUAA bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BUSA
    GAMBAR SERAHAN BUSA

    Program ini turut direalisasikan dengan tajaan dan sagu hati daripada Sifana Sdn Bhd dan Kompleks Annajat, yang bukan sahaja menyumbang kepada penyediaan pek barangan keperluan, malah ikut serta turun padang bersama para sukarelawan berkenaan.

    Penghargaan juga ditujukan kepada Findlay (B) Sdn Bhd dan Borneo Twitchers Travel and Tours Sdn Bhd atas sokongan berterusan terhadap program komuniti anjuran BUSA.

    Majlis diakhiri dengan iftar di Teratak MFF, yang menjadi detik muhasabah, ukhuwah dan peluang jaringan antara peserta daripada pelbagai persatuan.

    Dalam pada itu Naib Presiden BUSA, menyatakan kerjasama ini bukan sekadar penyampaian bantuan, ia adalah mengenai semangat ihsan yang dikongsi sesama komuniti yang terlibat.

    “Tahun ini, kami amat berbangga dapat memperluaskan kerjasama dengan NTUAA, yang semangat kesukarelawanan mereka telah menjadikan Kasih Ramadan tahun ini lebih berkesan dan menyentuh hati,” tambahnya.

    Program Kasih Ramadan terus menjadi simbol perpaduan, kemurahan hati dan jalinan kerjasama yang berkekalan, di samping nilai-nilai yang sentiasa dipegang oleh BUSA, NTUAA dan BFWDA dalam menyantuni komuniti di seluruh Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda