Sunday, March 16, 2025
24.2 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Busan World Expo 2030 dijangka jana impak ekonomi bernilai AS$42.5 bilion

BUSAN, 30 OKT – Ekspo Dunia 2030 (The 2030 World Expo) di Busan dijangka menjana impak ekonomi bernilai 61 trilion won (AS$42.5 bilion) untuk Korea Selatan dan melonjakkan bandar itu menjadi sebuah hab global merentasi pelbagai sektor.

Pengarah Bahagian Bantuan Ekspo Luar Negara Busan Metropolitan City, Lee Seung Woo berkata hos Ekspo Dunia yang dijangka diumumkan pada November 2023, secara tidak langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan menarik peluang pelaburan dari luar negara.

“Kira-kira 35 juta orang dari 200 negara dijangka melawat ekspo itu dalam tempoh enam bulan. Kesan ekonomi diunjurkan bernilai 61 trilion won dan menawarkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan.

“Kami menjangkakan kesannya tiga kali ganda lebih besar daripada Sukan Olimpik (ia diadakan selama dua minggu) dan Piala Dunia (berlangsung selama sebulan). Ia akhirnya akan menggiatkan semula ekonomi tempatan merentas sektor,” kata Lee kepada Bernama baru-baru ini.

Busan merupakan bandar kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul, ia terletak di tenggara semenanjung Korea.

Kerajaan Korea Selatan dan bandar Busan secara rasmi menyerahkan cadangannya untuk menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2030 pada 7 September lepas kepada sekretariat Bureau International des Expositions (BIE) di Paris, Perancis dengan tema ‘Transforming our World, Navigating to a Better Future’.

Pelan itu termasuk penganjuran ekspo neutral karbon sebagai strategi untuk mengalahkan pesaingnya dari Itali dan Arab Saudi. – Bernama  

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda