Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Busana sulaman ‘Aari’ jadi pilihan wanita sambut Ponggal

    KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Ponggal yang diadakan baru-baru ini, wanita India bukan sahaja dilihat sibuk membeli susu, tebu dan belanga tanah liat dengan rekaan menarik, tetapi juga memilih hiasan sulaman Aari untuk mencantikkan lagi busana mereka ketika menyambut pesta menuai itu.

    Letchumy Arumugam, 50, pemilik Sara Bombay Tailoring, berkata disebabkan musim perayaan, beliau menerima banyak tempahan untuk sulaman Aari dengan harga antara RM100 hingga RM2,800.

    “Peralatan penting untuk menghasilkan seni sulaman tangan Aari adalah benang dan jarum serta penggunaan batu dan hiasan lain untuk menambah kemewahan pada sulaman.

    Biasanya tempahan sulaman Aari ini dibuat untuk keseluruhan pakaian atau bahagian tertentu, bagi meningkatkan lagi daya tarikan sesuatu busana itu.

    “Ia mengambil masa sekurang-kurangnya lapan hingga 10 jam untuk menyiapkan sulaman bagi satu blaus, justeru penetapan harga bagi setiap tempahan adalah wajar kerana memerlukan ketelitian dan kemahiran,” katanya kepada Bernama.

    Arumugam menunjukkan hasil sulaman Aari ketika tinjauan Bernama di kedainya. – Bernama
    Antara peralatan dan hiasan yang digunakan bagi menghasilkan sulaman Aari ketika tinjauan fotoBERNAMA di Sara Bombay Tailoring Batu Caves. – Bernama
    Gambar Bernama
    Arumugam ketika menunjukkan alatan bagi menghasilkan sulaman Aari ketika tinjauan fotoBERNAMA di kedainya. – Bernama
    Arumugam, 50, (kiri) pemilik Sara Bombay Tailoring bersama pekerjanya menyiapkan tempahan sulaman Aari para pelanggannya ketika tinjauan Bernama di kedainya di Batu Caves. – Bernama
    Arumugam menunjukkan cara sulaman Aari ketika tinjauan fotoBERNAMA di kedainya di Batu Caves. – Bernama

    Sulaman Aari telah bermula sejak era Mughal dan istilah Aari berasal dari aar, iaitu menggunakan jarum panjang seolah-olah jarum mengait yang hujungnya bercangkuk dan kain perlu diregangkan pada bingkai kayu.

    Letchumy yang telah lapan tahun menceburi industri pakaian, menyatakan mendapat permintaan tinggi dalam seni sulaman ini terutamanya golongan wanita muda yang ingin menggayakan busana indah mereka pada hari ketiga perayaan Ponggal yang dikenali sebagai Kanni Ponggal.

    Secara tradisi perayaan hari ketiga itu disambut oleh wanita yang belum berkahwin yang berdoa untuk mendapat kesejahteraan dalam kehidupan mereka dan pasangan hidup yang ideal.

    Letchumy yang mempunyai cawangan di Rawang, Selayang dan Batu Caves berkata beliau banyak menerima pesanan menerusi platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram.

    Bagi pelanggan, S. Bavani, 28, beliau menyifatkan sulaman yang dihasilkan adalah unik dan menarik.

    “Harganya mencerminkan mutu kerja yang sempurna. Saya telah menempah tiga blaus sari yang menampilkan rekaan susu dituang dari belanga tanah liat. Pertama kali saya pilih rekaan seumpama ini,” katanya.

    Masyarakat Tamil lazimnya meraikan Ponggal pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, Thai. Perayaan tersebut dianggap penting terutamanya bagi komuniti pertanian.

    Perayaan yang berlangsung selama empat hari itu bermula dengan sambutan Bhogi iaitu sehari yang dikhususkan untuk introspeksi, dengan melambangkan pembakaran barangan rumah lama dan tidak digunakan.

    Ia diikuti oleh Thai Ponggal, hidangan nasi manis (Ponggal) disediakan dalam belanga tanah liat tradisional, melambangkan rasa syukur kepada Dewa Matahari (Surya Bhagavan) untuk hasil tuaian yang banyak.

    Pada hari ketiga, sambutan Mattu Ponggal untuk perayaan lembu yang dipercayai menyumbang kepada kejayaan menuai. Sambutan terakhir pada hari keempat, Kanni Ponggal menyaksikan wanita yang belum berkahwin membuat Ponggal, berdoa untuk mendapat suami yang baik. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...