Oleh Nurdiyanah R. –
Setiap sentuhan busana yang diperagakan bagaikan memiliki ‘roh’ yang mampu membawa kita mengimbau kembali akan asal-usul sejarah silam.
Mata penulis seakan-akan terpana apabila berkesempatan menyaksikan dan menemui beberapa golongan etnik yang berpakaian tradisi dan seni tarian yang mereka warisi sejak turun-temurun.
Justeru itu, kehadiran mereka semasa berlangsungnya Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk di keempat-empat buah daerah sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun baru-baru ini jelas menonjolkan jiwa perpaduan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi demi pemimpin negara yang disegani.
Meskipun pemakainya berbeza usia namun tetap tampil segak bergaya dan anggun jelita bersulam semangat etnik dalam sanubari. Terpancar aura serinya pada keterampilan mereka.
Sudah termaktub sejak dahulu lagi bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu yang mengandungi tujuh puak jati iaitu Melayu Brunei, Tutong, Belait, Kedayan, Bisaya, Dusun dan Murut. Masing-masing memiliki keunikan dan nilai keistimewaan budaya tersendiri jika diamati sedalam-dalamnya.
Sentuhan tradisi Puak Tutong
Dalam konteks ini, tidak terkecuali juga Puak Tutong yang sememangnya mewarisi banyak adat yang telah di-amalkan sejak zaman nenek moyang lagi, namun kini, ia semakin kurang dipraktikkan malah hampir sirna ditelan arus kemodenan.
Bagaimanapun, hanya adat berbasuh kaki sahaja yang masih dipraktikkan sehingga kini dalam kalangan etnik ini ketika berlangsungnya majlis perkahwinan.
Seiring berlalunya waktu, salah satu adat yang kini sukar disaksikan bahkan boleh dikatakan sudah tidak di-praktikkan ialah ketika menghadiri majlis perkahwinan masyarakat Tutong, di mana pengantin lelaki biasanya akan diarak menggunakan ‘bangkar’ iaitu sejenis alat berbentuk kapal yang seakan-akan terapung dan direka khas di atas buluh.
Ia digunakan dalam majlis perkahwinan dahulu kala di mana sebaik sahaja pe-ngantin lelaki menghampiri rumah pengantin perempuan, maka pengantin lelaki akan menaiki usungan yang diangkat oleh beberapa orang kaum lelaki yang berbadan tegap atau sasa.
Inilah salah satu adat yang sudah tidak diamalkan dalam lingkungan Puak Tutong dasawarsa ini. Antara alasannya disebabkan peralihan zaman yang serba moden dan kemudahan teknologi yang canggih mewarnai peradaban kehidupan masyarakat.
Peragakan pakaian tradisi Gegatar dan Sesandang
Di samping itu, sebagai salah satu usaha murni untuk mengimbau adat tradisi orang dulu-dulu khususnya dalam majlis perkahwinan, baru-baru ini, salah seorang beliawanis berasal dari Daerah Tutong, Dayang Nornaqibah binti Abdul Hamid telah melakar kenangan manis penuh bermakna memperagakan pakaian tradisi Puak Tutong yang pastinya sudah jarang dilihat dan digunakan pada zaman ini lebih-lebih lagi dalam sama-sama menanti keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat diraja bercemar duli ke Daerah Tutong pada 25 Julai lalu.
Dengan menggunakan ‘Gegatar’ di kepala dihiasi dengan juntaian cantuman manik berwarna-warni di sekelilinginya serta ‘Sesandang’ di kedua-dua belah bahu dihiasi kain tenunan, beliau menjadi satu tarikan unik bagi orang ramai yang ingin mengetahui mengenai busana tradisi itu.
“Saya berbangga memperagakannya kerana ia adalah dentiti tersendiri bagi Puak Tutong.
Kalau bukan kita selaku generasi pada masa ini, siapa lagi yang akan dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan budaya puak kita sendiri,” ujarnya semasa berkesempantan ditemui penulis.
Dayang Nornaqibah yang merupakan pengurus sebuah pusat pelancongan di Kampung Tanjong Maya, Lamin Warisan, turut tidak ketinggalan mengungkapkan perasaan terharu penuh kesyukuran kerana pada tahun-tahun sebelumnya ada juga beberapa orang beliawanis Daerah Tutong sendiri yang tampil berani mempertahankan pakaian pengantin Puak Tutong tersebut ketika berlangsungnya Majlis Berbedak dalam majlis perkahwinan mereka.
Kongsinya lanjut, kini belia-belia Puak Tutong kita sudah mula membuka mata mereka dan berusaha menghidupkan kembali adat resam dan budaya seperti memperagakan pakaian pengantin Puak Tutong misalnya pada majlis bersejarah mereka.
Ia juga diperagakan ketika berlangsungnya Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-77 Tahun.
“Walaupun tidak begitu drastik namun daripada kelompok yang sedikit, dengan izin Allah SWT jua, saya yakin lama-kelamaan ia pasti akan berkembang dan tidak mustahil boleh menjadi trend dan pakaian utama semasa persandingan sebagaimana pakaian pengantin Puak Melayu Brunei.
“Dengan cara sebegini, ia secara tidak langsung dapat membuka mata dan memperkenalkan kepada masyarakat di negara ini mahu pun orang luar mengenai budaya atau pakaian Puak Tutong.
Pastinya, adalah menjadi tanggungjawab golongan belia khususnya yang berasal dari daerah ini untuk memartabatkan pakaian perkahwinan tradisi Puak Tutong ini.
“Alangkah sayangnya jika kita membiarkannya pupus begitu sahaja kerana pakaian ini memang cantik dan memiliki keunikan tersendiri,” ujar Dayang Nornaqibah dengan penuh harapan.
Simbol merah, putih dan hitam
Masyarakat Sang Jati Dusun juga tidak kurangnya kaya dengan keunikan dan keistimewaan tersendiri, berpegang kepada pepatah Melayu ‘Biar mati anak jangan mati adat’ demikianlah yang melambangkan betapa teguh dan penting sesuatu adat mahupun budaya yang mereka ketengahkan agar ia dapat dipertahankan bagi generasi yang akan datang.
Pengurus Gandang Majlis Perundingan Kampung Ukong, Daerah Tutong, Haji Md Zaki bin Abdullah Ringgit, semasa berlangsungnya majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat serta penduduk di Daerah Tutong baru-baru ini, menjelaskan bahawa “busana tradisi yang terserlah gabungan warna merah, putih dan hitam, itulah ciri yang menyerikan sentuhan pakaian tradisi Puak Dusun sama ada kaum lelaki mahu pun perempuan secara umumnya.
“Sementara warna merah pula membawa maksud gagah atau berani dan putih pula membawa erti kesucian. Manakala hitam merujuk kepada semangat seorang pahlawan,” tambahnya.
Beliau yang berusia 71 tahun turut mengongsikan kebiasaannya pakaian tradisi diperagakan semasa mengadakan acara-acara perayaan atau keramaian; mahu pun ketika melakukan persembahan memainkan peralatan muzik tradisional dan juga tarian seperti Tarian Ancayau.
Adapun Tarian Ancayau yang diiringi dengan Gendang Ibang-Ibang berkenaan merupakan salah satu tarian tradisi yang melambangkan satu penghargaan bagi menyambut kedatangan tetamu.
Gaya tarian yang menggambarkan pergerakan berburu itu biasanya akan membawa peralatan utama semasa tarian itu dan lazimnya pada hujung rotan ini dipasangkan giring-giring daripada tembaga bertujuan untuk mengeluarkan bunyi.
Selain itu, ia dilengkapi dengan ‘Khalid’ iaitu sebuah perisai yang diperbuat daripada kayu.
Dengan memakai selampai yang ditenun, perhiasan kepala yang disebut ‘Tugog‘ serta sebilah pemarang diikat di pinggangnya.
“Perhiasan di kepala si pemakai lelaki itu diperbuat daripada bulu burung koel Asia jantan dan anyaman daripada daun mengkuang yang dikeringkan,” jelasnya.
Seni budaya tersirat makna
Sementara itu, kenangan penuh bermakna masih segar di minda penulis semasa berpeluang menyaksikan tarian gemalai dan halus gerak gerinya oleh ahli Persatuan Lun Bawang Murut Brunei, beberapa tahun lalu di majlis ramah mesra dan junjung ziarah bersama rakyat serta penduduk di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’.
Penulis pada ketika itu turut teringat akan perkongsian daripada Awang Padan bin Lasong selaku ketua kebudayaan persatuan berkenaan yang menjelaskan bahawa tarian kebiasaannya dilakukan apabila berlangsungnya majlis pindah rumah baharu dalam kalangan Puak Murut yang dijalankan pada waktu malam.
“Tarian yang diiringi dengan alat-alat muzik tradisi seperti gulingtangan bertujuan untuk mengucapkan tanda selamat dan memohon perlindungan supaya penghuni rumah akan terlepas daripada sebarang gangguan,” ujarnya.
Awang Padan yang menetap di Kampung Parit, Daerah Temburong menyatakan kaum lelaki akan memakai sejenis kain yang diperbuat daripada kulit kayu Timbaran dengan sentuhan jahitan tangan.
Manakala pakaian tradisi kebanggaan kaum wanitanya disebut dengan nama Kuyu Kebaya yang diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam. Ia terdiri daripada dua bahagian iaitu baju kebaya dan kain yang dihiasi dengan beberapa aksesori tradisional lain seperti hiasan kepala ‘Peta Uluh’ atau topi daripada jalinan manik tanah liat, tali pinggang dan rantai hiasan daripada manik, gelang tangan dan gelang kaki. Segala keindahan berkenaan sememangnya menzahirkan keperibadian kewanitaan, lambang keanggunan dan cerminan budi pekerti tinggi mereka.
“Lambang kesetiaan kepada raja yang kita kasihi, kami tampil bukan hanya untuk mengetengahkan budaya pakaian tradisi ini bahkan ia diharap membuka minda semua lapisan masyarakat dari pelbagai puak yang lain untuk turut berjuang memartabakan dan menghayati betapa indahnya kesenian budaya puak-puak Melayu tanah air kita di samping mempraktikkan nilai-nilai kebudayaan tradisi milik orang-orang Brunei dengan penuh kesungguhan agar keasliannya tidak pupus begitu sahaja,” tegasnya.