Butik Chanel dirompak

PARIS, 6 MEI – Sekumpulan pencuri bersenjata merompak kedai jam tangan dan barang kemas Chanel berhampiran Place Vendome yang mewah di tengah Paris pada siang hari, beritahu polis kepada AFP.

Tidak ada sesiapa yang cedera semasa rompakan, dan tidak adanya anggaran mengenai nilai barangan yang dirompak.

Polis berkata sekurang-kurangnya seorang daripada empat perompak, yang semuanya memakai topeng dan topi keledar, membawa senapang patah, dengan seorang saksi berkata yang lainnya juga mempunyai senjata automatik. Mereka melarikan diri dengan dua motosikal dalam kejadian yang dirakam oleh orang yang berada di tempat kejadian dan dikongsi di media sosial.

Klip video menunjukkan tiga orang dalam pakaian hitam meninggalkan butik sementara yang keempat, membawa senapang patah di bahu, Amenunggu dengan motosikal.

Seorang saksi, Anastasia Martino, 26, yang bekerja di kedai pakaian di depan Chanel berkata dia sedang berehat apabila dia ternampak ‘seorang penunggang motosikal dengan senapang Kalashnikov’ pada kira-kira 2:30 petang.

“Dua minit kemudian, tiga lelaki lain meninggalkan butik membawa beg hitam besar. Mereka juga mempunyai senjata automatik, menaiki motosikal dan meninggalkan tempat itu dengan tergesa-gesa.”

Rakan sekerjanya, Cyril Ngo, 31, berkata rompakan berlaku dalam masa 10 minit. “Mereka bukan profesional,” katanya.

Polis mengepung kawasan itu sejurus selepas rompakan, dan kedai berkenaan ditutup untuk sementara waktu. – AFP

Polis mendirikan sekatan keselamatan berdekatan pintu masuk ke kedai Chanel di Place Vendome di Paris pada 5 Mei 2022 selepas rompakan oleh geng bersenjata. – AFP