Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    BWF batal Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2020

    KUALA LUMPUR, 22 OKT – Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 18 hingga 24 Jan, 2021 di Auckland, New Zealand telah dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19, selain sekatan masuk dikenakan negara itu.

    Keputusan itu dipersetujui bersama oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Badminton New Zealand dan juga penganjur, Auckland Tourism, Events and Economic Development (ATEED).

    Setiausaha Agung BWF Thomas Lund dalam kenyataan hari ini berkata penangguhan itu tidak dapat dielakkan kerana situasi COVID-19 ketika ini dan memaklumkan bahawa New Zealand akan menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan pada edisi 2024. “Tuan rumah untuk edisi berikutnya telah bersedia pada tahun 2021 (di China), dan ketidakpastian situasi COVID-19 yang dijangka akan berlanjutan hingga tahun depan, penangguhan bukanlah satu pilihan,” kata  beliau.

    Pada awalnya, kejohanan tahunan itu sepatutnya diadakan pada bulan September 2020 tetapi BWF telah memutuskan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan kepada Januari 2021 dengan mengambil kira situasi global wabak COVID-19.

    Pada 2018, Majlis BWF telah memutuskan untuk memberikan hak penganjuran kejohanan berkenaan kepada China pada tahun 2021, Sepanyol (2022) dan Amerika Syarikat pada tahun 2023. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda