KUALA LUMPUR, 5 JUN – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membatalkan tiga lagi kejohanan badminton terbuka susulan penularan wabak COVID-19.
Kejohanan berkenaan adalah Terbuka Australia (2-7 Jun), Terbuka Hyderabad (11-16 Ogos) dan Masters Korea Selatan (24 hingga 29 November). Menurut BWF dalam satu kenyataan hari ini, kejohanan badminton Terbuka Australia yang sebelum ini ditangguhkan, terpaksa dibatalkan kerana Badminton Australia, badan induk sukan badminton negara berkenaan gagal menemui tarikh baharu yang sesuai.
Manakala, Badminton Korea pula meneruskan penganjuran Terbuka Korea Selatan 2020 di Seoul pada 8 hingga 13 September.
Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata beberapa perubahan perlu dilakukan namun ia tidak memberikan kesan besar kepada kalendar baharu kejohanan bagi musim 2020.
Beliau juga berterima kasih kepada semua ahli gabungan di atas kesabaran, kerjasama dan nasihat diberikan sebelum BWF memutuskan untuk menyemak semula kalendar kejohanan susulan krisis penularan COVID-19. – Bernama