KUALA LUMPUR, 30 Nov – Panel bebas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan berhubung rayuan oleh dua pemain Malaysia yang digantung, Zulfadli Zukiffli dan Tan Chun Seang, kerana kesalahan mengatur perlawanan.
Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund berkata, badan induk dunia itu, tidak mengetahui perkembangan mengenai kes rayuan itu kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh panel bebas yang dilantik oleh mereka.
“Saya tidak tahu tentang kemajuan kes itu kerana panel bebas kami mempunyai kuasa penuh dalam mengendalikan kes itu…jadi kami tidak tahu apa keputusan mengenai rayuan yang dibuat oleh panel bebas itu.
“Rayuan adalah satu lagi proses yang dikendalikan oleh panel tersebut,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman bandar-bandar tuan rumah bagi acara utama BWF dari 2019-2025, di sini, malam ini.
Pada Mei lalu, Zulfadli dan Chun Seang masing-masing digantung selama 20 dan 15 tahun dan denda AS$25,000 (RM104,600) dan AS$15,000 (RM62,760) selepas didapati bersalah mengatur perlawanan oleh panel panel bebas tersebut. – Bernama