Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BWS FC juara BMI Super cup 2019

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Kejohanan Bola Sepak BMI Super Cup 2019 anjuran Garda BMI menutup tirainya malam kelmarin dengan menyaksikan perlawanan akhir antara dua pasukan teratas iaitu Pasukan Nusantara FC menentang Pasukan BWS FC yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada perlawanan akhir berkenaan dan seterusnya berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Meskipun kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang begitu baik pada perlawanan akhir malam kelmarin, nasib dan piala kejohanan akhirnya menjadi milik Pasukan BWS FC setelah menang bergaya 3-0 pada perlawanan tersebut.

    Gol sulung Pasukan BWS FC tercipta pada babak pertama perlawanan melalui pemain jersi nombor 7, Emil Eliser Haekase pada minit ke-44. Sementara itu, gol kedua yang dihasilkan pada minit ke-68 pula dijaringkan oleh Kamaludin Karta Sudinta manakala gol ketiga pasukan dijaringkan oleh Serbi Renaldi pada minit 71.

    Kemenangan BWS FC tersebut sekali gus menjadikan Pasukan Nusantara FC terpaksa akur menduduki tempat kedua bagi kejohanan kali ini. Sementara itu, Pasukan Patria FC berjaya menduduki tempat ketiga setelah mengalahkan Pasukan Putra Lampung FC dalam perlawanan bagi menentukan pasukan di tempat ketiga dan keempat beberapa hari yang lepas.

    Majlis penyampaian hadiah dan pingat pada malam kelmarin turut menyaksikan penganugerahan penjaring terbanyak kejohanan yang berjaya membawa pulang ‘Sepatu Emas’ kejohanan yang dianugerahkan kepada pemain dari Patria FC iaitu Agus Haryono setelah berjaya mencatat sembilan gol di sepanjang kejohanan.

    Pada perlawanan kali ini, 10 pasukan telah mengambil bahagian termasuklah pasukan Forwilbas FC, Demit FC, Bahurekso Kendal FC, Putra Lampung FC, Patria FC, Nusantara FC, BWS FC, Lorena United FC, Veteran FC dan Matrix FC.

    BMI Super Cup 2019 merupakan pertandingan bola sepak yang disokong oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan dalam kalangan warga Indonesia di Negara Brunei Darussalam melalui sukan diminati ramai, iaitu bola sepak.

    Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyempurnakan penyampaian piala BMI Super Cup kepada juara, BWS FC pada majlis penyampaian hadiah di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan.
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan piala kemenangan kepada juara Kejohanan Bola Sepak BMI Super Cup 2019, BWS FC yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda