SHENZHEN, 3 MAC – Pengeluar automotif China, BYD dan gergasi dron, DJI melancarkan sistem dron yang dipasang pada kenderaan pintar bagi mengubah kereta menjadi platform hiburan dan eksplorasi mudah alih, lapor Xinhua.
Sistem yang dinamakan ‘Lingyuan’ itu mengintegrasikan dron dengan kenderaan, menawarkan sudut pandangan menegak bagi merakam detik perjalanan secara masa nyata.
Menurut pengumuman syarikat pada majlis pelancaran di Shenzhen, sistem ini akan tersedia untuk semua model BYD.
‘Lingyuan’ dilengkapi pad pendaratan boleh laras yang dipasang pada kenderaan, membolehkan pelepasan dan pendaratan automatik, synchronised follow-shooting serta penyimpanan dan pengecasan pantas bagi dron, kata Naib Presiden Kanan BYD, Yang Dongsheng.
“Kerjasama antara BYD dan DJI bukan sekadar meletakkan dron dalam kereta,” kata Pengerusi dan Presiden BYD, Wang Chuanfu dalam majlis itu.
Beliau berkata kedua-dua syarikat membangunkan teknologi itu dari awal dengan mengintegrasikan keupayaan kenderaan dan dron secara menyeluruh bagi meningkatkan prestasi kedua-duanya.
Presiden DJI, Luo Zhenhua turut menyuarakan pandangan yang sama dengan menegaskan bahawa teknologi seharusnya tidak menjadi sekadar alat permainan untuk golongan tertentu.
“Ia sepatutnya menjadi alat yang memberi manfaat kepada dunia,” katanya.
Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai satu kejayaan dalam inovasi produk serta penjenamaan semula ekosistem mobiliti. – Bernama
