Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BYD Dolphin tampil elegan, futuristik

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Maju Motors pengedar tunggal kereta BYD hari ini melancarkan BYD Dolphin sebuah varian dinamik bagi tahun 2024 serba baharu semasa Jerayawara BYD pertama yang diadakan di The Mall, Gadong.

    Dengan menampilkan wajah baharu dalam model BYD, majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Pengarah Urusan Maju Motors Sdn Bhd, Chan Key Hong.

    Acara berkenaan mempamerkan komitmen BYD terhadap pengangkutan mampan dan penyelesaian mobiliti hijau melalui model NEV terbaharunya.

    Acara berkenaan juga mempamerkan pratonton eksklusif model BYD Hybrid Plug In pada tahun 2025.

    Chan Key Hong, dalam ucapannya menyatakan bahawa “dengan memperkenalkan kereta elektrik (EV) BYD serba baharu ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi BYD di Brunei dengan memperkenalkan lagi BYD Dolphin di negara ini.

    Chan Key Hong bergambar ramai di hadapan BYD Dolphin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Ruangan dalaman yang terdapat pada BYD Dolphin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Model BYD Dolphin yang dipamerkan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Komitmen kami terhadap inovasi dan kemampanan tercermin dalam kenderaan yang luar biasa ini, yang menggabungkan teknologi canggih dengan prestasi yang tiada tandingan.

    Kami teruja untuk membawa era baharu mobiliti elektrik ke Brunei dan berharap dapat menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau untuk negara ini,” ujarnya.

    BYD Dolphin merupakan sebuah kereta hatchback elektrik kompak yang dihasilkan oleh pengeluar automotif China, BYD Auto. EV hatchback lima pintu BYD itu dikuasakan oleh sebuah motor elektrik tunggal yang menghasilkan 94 hp dan 180 Nm tork.

    Dari segi reka bentuk, BYD Dolphin direka untuk kelihatan bersih, elegan, dan futuristik.

    Bahagian luarnya mengimbangi aerodinamik dan gaya, menampilkan lekukan yang halus serta gril hadapan yang unik yang mencerminkan elemen inovasi.

    Sementara itu, bahagian dalamnya menampilkan pendekatan minimalis namun sofistikated, menggabungkan bahan berkualiti tinggi dan teknologi canggih. Susun atur itu direka untuk menyediakan antara permukaan yang mesra pengguna, memastikan pemandu dapat meng-akses kawalan dan maklumat yang penting dengan mudah.

    Motor elektrik kenderaan ini dikuasakan oleh bateri Blade BYD dengan kapasiti 44.9 kWh yang membolehkan Dolphin mencapai jarak perjalanan yang diiktiraf WLTP sehingga 410 km. Selain itu, BYD Dolphin boleh mencapai kelajuan maksimum 130 km/j dan boleh memecut daripada 0 hingga 50 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

    Pengecasan Dolphin mengambil masa sekitar 30 minit daripada 30 peratus hingga 80 peratus menggunakan pengecas DC 60 kW. Manakala pengecas AC mengambil masa lapan jam untuk mengecas Dolphin dari sifar hingga 100 peratus.

    Dari segi casis, Dolphin dibina di atas platform e-Platform 3.0, sebuah platform yang dibangunkan oleh BYD khas untuk kenderaan elektrik mereka.

    Di bahagian hadapan, sistem suspensi MacPherson digunakan untuk menyokong kestabilan Dolphin, manakala bahagian belakang ia dilengkapi dengan suspensi torsion beam. Bagi sistem brek, cakera ventilasi dipasang roda hadapan, manakala cakera pepejal digunakan di roda belakang.

    Dolphin dilengkapi dengan sistem infotainmen skrin berukuran 12.8 inci yang boleh berputar dengan enam pembesar suara untuk keselesaan seluruhan kabin. Penyaman udara automatik turut dilengkapi bersama tingkap kuasa dan lampu LED dalam dan luar untuk hadapan dan belakang. Ciri teknologi lain termasuk sistem butang tekan untuk memulakan enjin, kunci pintu sensitif kelajuan, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera panorama, kawalan permulaan bukit dan kekal, peralatan anti-kecurian, brek regeneratif, dan sistem kestabilan elektronik.

    Walaupun merupakan hatchback kecil, BYD Dolphin dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan untuk memastikan perjalanan selamat. Dolphin mempunyai enam beg udara yang dipasang di bahagian depan, sisi, dan langsir kereta, pemegang ISOFIX, kunci pintu sensitif kelajuan, pemantau tekanan tayar, sistem kestabilan kenderaan, kawalan traksi, kamera panorama, serta kawalan permulaan dan kekal. Selain itu, Dolphin juga mempunyai sistem kemasukan tanpa kunci dengan sistem anti-kecurian canggih untuk menghalang pencerobohan.

    Semasa pelancaran, Chan Key Hong juga memperkenalkan aplikasi BYD untuk kesemua pelanggannya. Mereka yang memilik kereta BYD akan dapat mengakses sistem kereta mereka dengan hanya menggunakan aplikasi berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda