PARIS, 21 MAC – Pengeluar automotif China, BYD, kelmarin berjanji untuk menakluki pasaran Eropah dengan model elektrik kompak baharu serta sistem pengecasan ultra pantas yang mampu menyaingi jenama tempatan.
“Awda akan lihat, bermula Mac atau April, jumlah pendaftaran kami di Eropah akan melonjak,” kata Naib Presiden BYD, Stella Li, dalam satu temu bual dengan AFP di sebuah bilik pameran di Paris.
“Tahun ini, jualan BYD di seluruh Eropah akan mula meningkat.”
Kumpulan itu telah melancarkan kempen pengiklanan besar-besaran, termasuk penajaan Kejohanan Bola Sepak Eropah tahun lalu serta membuka banyak bilik pameran baharu di seluruh benua.
BYD merancang untuk melancarkan model kompak Seagull, yang akan dinamakan semula sebagai Dolphin Surf di Eropah – pesaing kepada Renault 5 dan Citroen C3 – sekitar pertengahan tahun ini, kata Li.

Di China minggu ini, syarikat itu memperkenalkan sistem pengecasan baharu yang dikatakan mampu memberikan hayat bateri sejauh 470 kilometer selepas hanya lima minit pengecasan – empat kali lebih pantas daripada sistem terbaik yang terdapat di pasaran ketika ini.
“Ia benar-benar sepantas mengisi minyak kereta petrol,” kata Li. “Kami… sedang bersiap sedia untuk membawa teknologi canggih ini ke Eropah dalam beberapa tahun akan datang.” BYD berkata ia telah menggandakan eksport dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya, kepada 130,000 kenderaan.
Syarikat itu menjual 4.2 juta kenderaan di seluruh dunia pada tahun 2024, menjadikannya pengeluar kereta keenam terbesar di dunia.
Kesatuan Eropah (EU) telah mengenakan tarif 17 peratus ke atas kenderaan elektrik dari China bagi mengimbangi subsidi kerajaan China.
Sekatan EU “tidak akan mengubah rancangan BYD kerana BYD adalah pemain jangka panjang,” tegas Li.
Pihak berkuasa EU juga dilaporkan sedang menyiasat kilang pertama BYD di Eropah, yang terletak di Hungary, di mana pengeluaran kereta elektrik dijadualkan bermula akhir tahun ini.
“Kami akan bersikap sangat telus, sangat terbuka dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang ingin melakukan siasatan,” kata Li. – AFP