Tuesday, February 11, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BYD sepadukan DeepSeek, luaskan teknologi pandu sendiri

    BEIJING, 11 FEB – Saham dalam pembuat kereta China BYD melonjak hari ini selepas ia mendedahkan rancangan untuk melancarkan teknologi pandu sendiri termaju pada hampir semua keretanya, termasuk model berharga di bawah AS$10,000.

    Syarikat itu juga berkata ia akan menyepadukan kecerdasan buatan (AI), Deepseek ke dalam keretanya, mengikuti rakan sebaya domestik yang lain seperti Geely, Great Wall Motors dan Leapmotor.

    BYD ialah saingan terbesar Tesla dan pengumuman petang kelmarin menyebabkan penganalisis mencadangkan perang harga baharu mungkin akan berlaku.

    BYD akan memasang sistem pemanduan autonomi God’s Eye dalam sekurang-kurangnya 21 model, termasuk model hatchback bajet Seagull yang berharga daripada 69,800 yuan (AS$9,550).

    Sistem ini termasuk ciri-ciri seperti kebolehan parkir sendiri dan navigasi lebuh raya autonomi yang sebelum ini ditemui pada kenderaan yang lebih mahal. Tesla mempunyai ciri serupa yang tersedia dalam kenderaan elektriknya yang berharga dari $32,000.

    “Pemanduan autonomi bukan lagi sesuatu yang jarang berlaku, ia menjadi alat yang diperlukan,” kata pengasas BYD, Wang Chuanfu pada acara siaran langsung kelmarin.

    Teknologi memandu sendiri akan menjadi, “alat yang sangat diperlukan seperti tali pinggang keselamatan atau beg udara” dalam beberapa tahun, dia meramalkan.

    Penyepaduan DeepSeek, kata syarikat itu, akan membantu meningkatkan teknologi pemanduan sendiri dan memberikan pengalaman yang lebih diperibadikan untuk pengguna.

    Syarikat pemula AI berkenaan menjadi tajuk utama bulan lalu apabila ia melancarkan bot sembang yang boleh menandingi pesaing Amerikanya dengan kos yang lebih rendah.

    Pasaran kereta China yang juga merupakan terbesar di dunia, telah menyaksikan perang harga yang berpanjangan di kalangan berpuluh-puluh pengeluar EV yang terdesak untuk meraih bahagian pasaran masing-masing.

    Hampir 11 juta kenderaan elektrik dan hibrid telah dijual di negara berkenaan tahun lepas, meningkat lebih 40 peratus daripada 2023. BYD menyumbang kira-kira 4.2 juta daripada jualan tersebut, dengan pendapatan suku tahunannya mengatasi Tesla buat kali pertama pada suku ketiga. – AFP

    Salah satu model BYD dalam satu pameran. BYD akan integrasi DeepSeek dalam hampir semua modelnya. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda