BEIJING, 8 APRIL – Syarikat gergasi kenderaan elektrik (EV) China, BYD, menjangkakan rekod keuntungan pada suku pertama tahun ini, menurut keputusan awal yang diterbitkan hari ini, ketika jualan yang memberangsangkan menyaksinya menghantar lebih sejuta kereta.
Walau bagaimanapun, perang perdagangan China dengan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan antara Beijing dan ibu negara Barat yang lain menjejas cita-cita global syarikat itu.
Syarikat tersebut menjangkakan keuntungan bersih mencecah antara 8.5 bilion yuan (AS$1.2 bilion) dan 10 bilion yuan, meningkat daripada 4.6 bilion yuan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Ia akan mewakili pertumbuhan tahun ke tahun antara 86 peratus dan 119 peratus.
“Syarikat itu mencapai jualan rekod NEV (kenderaan tenaga baharu) untuk suku pertama,” kata syarikat yang berpangkalan di Shenzhen itu dalam pemfailan Bursa Saham Hong Kong.
BYD minggu lepas mengumumkan jualan pada Januari hingga Mac mengatasi sejuta kenderaan buat kali pertama, dengan peningkatan 39 peratus dalam jualan kenderaan penumpang elektrik penuh kepada 416,388.
Syarikat itu yang mengguna pakai slogan Inggeris ‘Bina Impian Awda’ telah menikmati jualan yang positif beberapa bulan selepas pendapatan tahunan meningkat kepada 777.1 bilion yuan pada 2024, mengatasi pesaing gergasi AS, Tesla.
Mengumumkan keputusan awal hari ini, BYD berkata ia juga mencatat pertumbuhan besar dalam jualan NEV antarabangsa. – AFP
