Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Dengan matlamat untuk membantu belia bergiat lebih aktif dalam melaksanakan program dan projek yang dapat membantu dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2022 bakal kembali buat kali keempat pada 10 dan 11 Disember depan.
Pendaftaran bagi menyertai konvensyen yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Brunei itu telah pun dibuka sekarang hingga 30 November.
Dianjurkan oleh Perspective Insan Academy, ia dihasratkan untuk menjadi platform yang menyatukan para belia dengan agensi-agensi yang berkepentingan sama ada daripada pihak kerajaan, swasta dan masyarakat untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini mengenai Wawasan Brunei 2035.
Dengan membawa moto B.E.L.I.A iaitu Believe, Empower, Lead, Inspire dan Act, konvensyen berkenaan dibukakan untuk penyertaan daripada para belia serta pemimpin belia yang tidak melebihi 45 tahun yang berminat serta berhasrat untuk berganding bahu dalam pembangunan negara dan mencapai wawasan 2035.
Sepanjang konvensyen itu, para pemimpin belia yang hadir akan berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Wawasan Brunei 2035, mengikuti forum dan sesi soal jawab bersama mentor yang terpilih, klinik mentor, membina rangkaian kerja, pengurusan projek serta mengikuti aktiviti yang disediakan.


