BEIJING, 8 JULAI – Syarikat teknologi China, ByteDance menafikan laporan bahawa pihaknya bersetuju untuk menjual pegangan kawalan dalam platform media sosial TikTok kepada sebuah konsortium Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh syarikat Oracle, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik media China hari ini.
Menurut ByteDance, spekulasi serupa pernah timbul pada April lalu dan telah dinafikan ketika itu.
Pada Januari, media AS melaporkan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump sedang berunding mengenai pengambilalihan TikTok oleh Oracle bersama sekumpulan pelabur Amerika.
Susulan itu, Kementerian Luar China menyeru agar AS menyediakan persekitaran perniagaan yang ‘terbuka, adil, saksama dan tanpa diskriminasi’ kepada syarikat China yang beroperasi di negara itu.
Pada Jumaat lalu, akhbar New York Post melaporkan bahawa China didakwa menangguhkan penjualan TikTok kepada pelabur AS bagi memaksimumkan kelebihan dalam rundingan perdagangan dengan Washington.
Pada 29 Jun, Trump mengumumkan bahawa dia akan mendedahkan senarai pembeli berpotensi TikTok, yang digambarkan sebagai ‘tokoh berprofil tinggi dan sangat kaya’ dalam tempoh dua minggu.
Pertengahan Jun lalu, Trump turut melanjutkan tarikh akhir permit operasi TikTok di AS kepada 17 September, tertakluk kepada penstrukturan semula operasinya di negara itu kepada sebuah entiti baharu yang dikuasai majoriti pelabur AS. – Bernama
