Pelakon Byun Woo Seok dilaporkan sedang hangat menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Stephanie.
Menurut mStar yang memetik laporan Allkpop, khabar angin tentang hubungan Woo Seok dan Stephanie mula tersebar apabila timbul dakwaan warganet menemukan foto aktor berkenaan bercuti bersama wanita itu dan rakan-rakannya.
Dalam satu foto dirakam Woo Seok di dalam kereta api, warganet melihat bayangan seorang wanita yang didakwa sebagai Stephanie terpantul di bahagian cermin.
Sebelum ini pada tahun 2022, Woo Seok turut berkongsi foto di sebuah kafe, Pacino dan hari yang sama juga Stephanie memuat naik foto berada di restoran sama.
Dalam pada itu, menerusi gambar yang dimuat naik oleh pemilik kafe yang dipercayai sebagai kenalan mereka, Stephanie dilihat duduk di sebuah meja dan warganet mendakwa Woo Seok memberikan tanda suka kepada foto tersebut.
Malah Woo Seok dan Stephanie turut didakwa mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Tidak hanya itu, warganet juga mendedahkan kedua-dua selebriti itu sering berada di lokasi yang sama berpandukan foto-foto mereka yang dikongsi di Pulau Jeju dan gimnasium.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat Stephanie hanyalah seorang peminat tegar Woo Seok. – Agensi