Syarikat pengurusan Varo Entertaiment bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menulis komen negatif kepada artis naungan mereka iaitu Byun Woo Seok.
Tindakan itu dibuat demi membersihkan nama Woo Seok selepas dia menerima pelbagai kecaman daripada warganet.
“Baru-baru ini kami (Varo Entertainment) telah membuat keputusan untuk melindungi hak pelakon kami iaitu Byun Woo-seok.
“Kami tidak boleh mengabaikan fitnah serta penghinaan yang telah dilontarkan kepadanya dan kami telah mengambil tindakan undang-undang,” kata agensi Woo-seok.
Dalam pada itu, memetik laporan mStar, agensi mendakwa mereka sedang mengumpulkan bukti mencukupi bagi mengambil tindakan undang-undang.
Malah agensi mengingatkan menulis komen mengandungi unsur fitnah dan menyebarkan berita palsu adalah satu tindakan jenayah.
“Menulis komen berbaur fitnah, penghinaan, gangguan seksual serta menyebarkan berita palsu yang tidak berasas adalah satu tindakan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Kami tidak akan berdiam diri melihat jenayah ini berlaku, kami akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas, tanpa sebarang kelonggaran supaya pelaku menerima hukuman yang setimpal,” ujarnya.
Untuk rekod, Woo-seok telah menjadi watak utama dalam drama Lovely Runner iaitu Ryu Sun-Jae dan telah mendapat sambutan hangat di 109 buah negara. – Agensi