SHANGHAI, 11 SEPT – Pesawat penumpang C919 buatan China menerima tempahan sebanyak 1,061 sejak mendapat sijil pengesahan daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada September tahun lepas.
Pengerusi Lembaga Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC), He Dongfeng berkata hasil pembangunan inovatif selama 15 tahun, pesawat penumpang bersaiz besar buatan China kini terdiri daripada pesawat jarak dekat ARJ21, pesawat jarak sederhana C919 dan pesawat jarak jauh C929.
“Setakat ini, ARJ21 memperoleh sebanyak 775 tempahan dan 112 daripadanya sudah memulakan operasi komersial,” katanya pada majlis pembukaan Forum Inovasi Pujiang yang berlangsung di Shanghai kelmarin.
Beliau berkata pelanggan pertama ARJ21, TransNusa Indonesia, mengendalikan laluan penerbangan domestik serta laluan ke Malaysia dan Singapura menggunakan pesawat itu, dengan menghantar seramai 8.6 juta orang penumpang.
Bagi model C929, pesawat jet antara benua pertama yang dibangunkan China, beliau berkata ia kini berada dalam fasa reka bentuk.
Pesawat itu dijangka dapat menampung 250 hingga 350 penumpang dengan kemampuan jarak penerbangan sejauh 12,000 kilometer. – Bernama