Pelakon Izreen Azminda Mohd Aznam, tidak risau kehadirannya dalam dunia lakonan semakin dilupakan apabila bersikap selektif sebelum menerima sesuatu tawaran.
Izreen, 34, berkata dia menjadikan Datin Seri Umie Aida dan Que Haidar sebagai contoh kerana biarpun jarang muncul di skrin televisyen, nama mereka masih relevan dalam industri hiburan.
Isteri kepada pemuzik, Ude Wahid itu berkata, pendirian itu diambil kerana dia menanti kehadiran watak lebih mencabar dan tidak mahu selamanya disogok karakter hampir sama.
Izreen berkata, biarpun tidak lagi aktif berlakon, bukan bermakna hanya duduk berdiam diri kerana dia juga perlu melunaskan pelbagai komitmen bulanan. Katanya, dia kini membantu menguruskan beberapa cabang perniagaan milik keluarganya.
“Saya tetap kena cari pendapatan untuk teruskan hidup, cuma tidak umumkan apa yang saya buat.
“Sebenarnya, dari dahulu keluarga mahu saya bantu uruskan perniagaan mereka. Cuma, ketika itu, saya tidak berminat kerana ingin berlakon. Selepas terbabit dalam dunia perniagaan, baru saya tahu ia sebenarnya menyeronokkan.
“Alhamdulillah, pendapatan juga baik, cuma ia bergantung bagaimana kita menguruskan sesuatu perniagaan,” katanya yang terbabit dalam bisnes hiasan dalaman.
Sementara itu, ditanya azam tahun baharu sempena 2020 yang bakal tiba, Izreen mengharapkan, rezekinya semakin murah dan dirinya juga bebas daripada kontroversi.
Dia juga mahukan kehidupan yang lebih tenang dan memohon keluarganya diberi ruang mencorakkan perjalanan mereka tanpa tekanan. – Agensi
