Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabar diri tawan Bukit Merikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Mencabar diri mendaki bukit atau gunung kini semakin mendapat tempat di hati rakyat negara ini, sementelah lagi banyak masa kini dihabiskan dalam negara, maka ia menjadi trending dalam kalangan rakyat dan penduduk Brunei.

    Mendaki atau lebih mudah disebut hiking di sini, penting sebagai aktiviti lasak yang mampu menggerakkan tubuh badan secara keseluruhan, menjadikan ia senaman murah dan mudah yang tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak, namun manfaatnya boleh dirasakan dalam kesihatan tubuh yang semakin hari semakin baik.

    Ia bukan sahaja menguatkan kaki, malahan seluruh anggota badan dan jantung manusia. Hiking memerlukan penggemarnya berjalan di permukaan rata dan mendaki permukaan curam mengikut trek mendaki.

    Selain daripada bukit-bukit yang sudah pun terkenal seperti Bukit Shahbandar, Tasek Lama dan terbaharu Silat dan Sum-Sum, satu lagi tarikan bagi orang ramai melakukan riadah hiking ialah Bukit Merikan.

    Sejarah

    Bukit yang baru sahaja dirasmikan beberapa bulan lalu itu, dikatakan mendapat namanya daripada orang British yang digelar orang lama dan orang-orang tua sebagai ‘orang Amerika’ yang suatu ketika dahulu singgah ke sebuah pelabuhan di Kampong Ayer.

    Pemandangan indah menghijau dan luas di bukit-bukit sememangnya dicari orang ramai bagi menghindari stres.
    Trend hiking semakin digemari rakyat dan penduduk di negara ini, tidak kira tua atau muda, dalam usaha memastikan diri sentiasa sihat.
    Sebelum mendaki, pastikan keselamatan diutamakan dengan membawa air, lampu suluh, telefon dan sedikit kudapan-kudapan.
    Antara pendaki yang mencuba trek baharu untuk hiking di Bukit Merikan baru-baru ini.

    Semasa dalam pelayaran ‘orang Amerika’ tersebut terhidu bau yang sangat kuat, membuatkan mereka ini ingin mengetahui dari mana datangnya bau itu.

    Mereka mendaki kawasan berbukit untuk mencari bau tersebut dan menjumpai ia datangnya dari pohon Tarap yang masak dan mengeluarkan bau yang sangat kuat. Lalu daripada kejadian tersebut, dikatakan bukit itu diberi nama sebagai Bukit Merikan sempena gelaran ‘orang Amerika’ oleh penduduk kampung ketika itu dan sempena nama buah itu juga, menjadikan kampung itu sehingga kini dikenali sebagai Kampung Tarap Bau.

    Dibuka bagi menyahut misi gaya hidup sihat

    Menurut seorang ahli jawatankuasa kampung yang mengendalikan perasmian bukit itu, Bukit Merikan dibukakan untuk orang ramai dalam usaha menyahut misi dan visi Kementerian Kesihatan untuk gaya hidup sihat.

    Ini kerana pergerakan badan dengan cara mendaki, memanjat atau menuruni bukit mampu mengerah tenaga yang banyak daripada penggemarnya, sekali gus membuatkan mereka berpeluh yang menyihatkan tubuh badan.

    Ia juga dihasratkan dapat mengisi masa lapang orang ramai melalui aktiviti mendaki sama ada bersama rakan, keluarga dan sahabat handai, selain mengurangkan pemikiran negatif melalui melihat pemandangan kehijauan alam sekitar, meningkatkan stamina dan menguatkan otot-otot.

    Selain itu, ia juga mengeratkan hubungan silaturahim dan mempertingkatkan kesedaran tanggungjawab kita terhadap alam sekitar, menurut ahli jawatankuasa itu.

    Utamakan keselamatan

    Meskipun hiking semakin trending, namun kejadian pendaki sesat, jatuh dan sebagainya juga agak kerap dilaporkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Sehubungan itu, ahli jawatankuasa Taman Riadah Bukit Merikan turut menasihatkan para pendaki untuk mendahulukan keselamatan dan sentiasa peka mengenai persekitaran mereka.

    Pendaki dinasihatkan memakai atau membawa kelengkapan keselamatan penuh seperti bekalan air yang mencukupi, kudapan seperti gula-gula atau coklat bagi yang mudah mengalami hipoglisemia, sarung tangan, telefon bimbit, wisel dan lampu suluh.

    Manakala bagi pemakaian pula, pendaki disarankan memakai kasut dan pakaian bersesuaian dan jika boleh, memakai pakaian terang yang mudah dikesan jika berlaku perkara tidak diingini. Bagi mereka yang mempunyai kondisi kesihatan seperti penyakit jantung, asma dan sebagainya, dinasihatkan tidak melakukan pendakian sendirian, bawalah teman atau ahli keluarga bersama.

    Pendaki juga diminta menjaga kebersihan alam sekitar sepanjang trek pendakian, menjaga adab dan tingkah laku di dalam hutan serta mengelakkan perbuatan yang boleh mendatangkan risiko.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda