“Kalau artis baharu itu berasa dirinya bagus, boleh datang minta lagu dengan saya,” kata penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir ketika ditanya kriteria artis baharu yang mahu meminta lagu daripadanya.
Menurut M Nasir, memang ada beberapa penyanyi baharu atau Budak Baru Nak Up (BBNU) yang memiliki bakat bagus ketika ini.
“Saya pernah beritahu memang ada beberapa penyanyi BBNU yang bagus tetapi tidak perlulah saya tonjolkan di sini. Artis baharu juga tidak perlu takut untuk minta lagu daripada saya. Kriteria saya untuk artis baharu minta lagu juga mudah, jika berasa diri bagus, datanglah berjumpa saya,” katanya.
M Nasir ditemui pada sidang media Konsert M Nasir Satu Hikayat – 40 Tahun Perjalanan di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mengulas mengenai konsert itu, kata M Nasir, ia sempena meraikan ulang tahun ke-40 dalam industri muzik tanah air.
“Konsert ini cukup istimewa kerana mengimbas perjalanan karier seni sejak empat dekad. Saya akan menyampaikan lebih 20 lagu popular daripada album pertama sampai sekarang,” katanya. – Agensi
