Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus memberikan sokongan kepada seruan Kementerian Kesihatan dalam meningkatkan usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif melalui kegiatan
riadah.
Dalam hubungan itu, bagi mencapai 80 bilion langkah menjelang hujung 2023, Cabaran BN on the Move, 80 Billion Steps to the Final Countdown, Kementerian Kesihatan telah mengadakan aktiviti berjalan kaki bagi menyahut cabaran berkenaan yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Turut serta dan mengetuai acara berjalan kaki itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan seterusnya aktiviti berjalan kaki beramai-ramai sejauh 3.4 kilometer mengelilingi Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar.
Sasaran bagi Cabaran 80 Bilion Langkah Bersama telah berjaya dicapai di mana sehingga pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 80,399,059,624 langkah telah berjaya dicatatkan.
BN on the Move merupakan program promosi kesihatan yang bertujuan untuk mempromosi serta membarigakan salah satu ciri baharu dalam aplikasi BruHealth untuk meningkatkan tahap kegiatan fizikal dalam kalangan masyarakat Brunei dengan menggalakkan berjalan kaki atau meningkatkan jumlah langkah setiap hari.
Cabaran 80 Bilion Langkah Bersama, cabaran ketiga di bawah inisiatif BN on the Move, telah bermula pada 20 Ogos lalu di mana versi terbaharu itu mempunyai ciri-ciri yang meliputi pelbagai jenis kegiatan fizikal dan juga meningkatkan pengalaman pengguna seperti pertandingan berkumpulan dan sistem mata insentif.
Mata yang dikumpulkan berfungsi sebagai insentif bagi mendorong pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif secara berterusan.
Sistem mata insentif berkenaan dikenali sebagai BruPoints Mall di mana setakat ini, sebanyak 24 jenis hadiah dan sebanyak 1,289 total item, manakala hadiah yang popular ditebus oleh pengguna ialah baucar makanan sihat dan keahlian gim.
Ganjaran itu boleh didapati di aplikasi BruHealth dengan hanya menggunakan mata terkumpul yang diperoleh daripada bersenam dan berjalan kaki.