Ahad, 23 November 2025
Klik Lagi

    Cabaran Artik, ekspedisi tekan isu pencemaran plastik

    DUBAI – Di sebuah kolam tertutup di Dubai, tiga pengayuh mengharungi hujan buatan dan ombak simulasi sebagai latihan mereka untuk melayari Artik yang bertujuan bagi menekankan bahaya pencemaran marin.

    Misi mereka akan membawa pasukan itu dari satu ekstrem ke tahap seterusnya.

    Mereka berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang dikenali dengan suhu panasnya yang tinggi, terutama pada musim panas.

    Destinasi mereka adalah salah satu rantau tersejuk di dunia, meskipun disebabkan perubahan iklim menjadikannya lebih panas tiga kali lebih pantas daripada purata global.

    Bagi ketua mereka, Toby Gregory, ia merupakan satu peluang untuk memberi amaran mengenai bahaya bahan buangan plastik di lautan dunia, sebuah misi yang disandangnya selepas ekspedisi berkayuh di Lautan Atlantik 2023 di mana beliau melihat “lebih banyak plastik daripada yang saya jangkakan.”

    Gambar AFP
    Ahli-ahli Pasukan Ekspedisi Cabaran Artik yang berpangkalan di UAE berlatih dalam keadaan simulasi di pusat latihan penerbangan di Dubai pada 24 Jun lalu. – AFP
    (Dari kiri) Andrew Savill, Orlagh Dempsey dan Toby Gregory bergambar semasa simulasi di pusat latihan penerbangan di Dubai. – AFP
    Gambar AFP

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata plastik dicatatkan sebagai 85 peratus daripada semua sampah marin.

    Tahun lepas Gregory telah menubuhkan The Plastic Pledge, yang bertujuan untuk mendidik pelajar mengenai pembuangan plastik.

    “Kami mahu mengaspirasikan sejuta pelajar, bukan hanya di UAE bahkan di seluruh dunia, untuk melakukan sesuatu yang berbeza,” Gregory, penasihat media bagi kerabat diraja UAE memberitahu AFP.

    “Adakah awda hanya meletakkan sampah di luar dan berharap ia akan dikitar semula? Bolehkah awda melakukan sesuatu dan lebih proaktif?”

    Beliau menambah “ancaman terhebat bagi planet kita adalah semua orang percaya bahawa ada orang lain yang akan menyelamatkannya.”

    ‘Cabaran Artik’ itu akan menyaksikan Greogry yang berusia 46 tahun, rakan British, Andrew Savill, 39, dan seorang wanita Irish berusia 30 tahun, Orlagh Dempsey berlepas lewat bulan ini dalam pelayaran sejauh 1,500km.

    Mereka akan berlepas dari bandar Tromso di utara Norway dan menuju ke Longyearbyen, ibu negara kepulauan Norwegian, Svalbard.

    Mereka merancang untuk berkayuh kira-kira tiga minggu di atas sebuah bot berukuran 8 meter dengan mengibarkan bendera UAE, tanpa kain layar atau enjin.

    Dengan berlepas ketika musim panas, masa di mana sinaran matahari tanpa henti di rantau kutub, mereka boleh menggunakan panel solar dengan efek maksimum untuk peralatan navigasi dan perhubungan.

    Di bawah kerjasama dengan Inisiatif Laut Bersih Program Alam Sekitar PBB, misi mereka akan mencatat peristiwa penting, dengan kumpulan itu akan menjadi pasukan tiga
    orang pertama yang berkayuh merentas Lautan Artik dan Dempsey akan menjadi wanita pertama melakukannya.

    Berlatih di Dubai, di mana bahang musim panas membawa mereka ke kolam tertutup, memaksa mereka untuk menjadi kreatif.

    Semasa sesi di Dynamic Advanced Training, sebuah pusat yang memfokuskan pada penerbangan, mereka cuba untuk menaiki bot dalam keadaan ombak kuat dengan hujan, petir dan guruh buatan menghasilkan keadaan seakan ribut.

    Tetapi dengan suhu di Dubai mencecah 40 darjah Celsius, cuaca Artik “sukar untuk ditiru” kata Savill.

    Apabila berada di laut di Artik, suhu dijangka akan mencecah antara 0 dan 10 darjah Celsius, kata Savill, oleh itu untuk bersedia mereka berharap dapat memanfaatkan apa sahaja ruangan iklim terkawal yang mereka dapat cari.

    Salah satu pilihan adalah Ski Dubai, sebuah resort tertutup di mana suhu jatuh sehingga -2 darjah celsius.

    “Harap-harap kami dapat pergi ke sana dan melakukan sedikit latihan untuk beberapa jam. Untuk memberikan kami pengalaman suhu sejuk sebenar.” Kata Savill.

    Dempsey mempertaruhkan pengalaman hidupnya membesar sebagai orang Irish untuk cabaran itu.

    “Saya menjalani 20 tahun kehidupan awal saya dalam suasana sejuk,” katanya sambil tertawa.

    “Saya rasa ia sesuatu yang kami akan beradaptasi secara mental dan fizikal setelah kami berada di sana, dan saya tidak rasakan ia akan menjadi masalah kepada sesiapa pun antara kami”. – AFP

    Kata Kunci

    Popular

    Asia Pasifik

    Hutan Hyrcanian UNESCO terbakar, Iran rayu bantuan antarabangsa

    Deaflympics 2025: Malaysia pecah rekod dalam acara 4x100m

    Angka korban gempa bumi di Bangladesh meningkat kepada 10

    Berita Berkaitan

    Sisa makanan jadi bahan utama kebun komuniti lestari

    Oleh Soon Li Wei KUALA LUMPUR, 23 NOV - Di tengah-tengah hiruk...

    Flydubai meterai perjanjian AS$13 bilion beli 75 jet Boeing

    DUBAI, 20 NOV - Syarikat penerbangan tambang rendah, Flydubai,...

    Hujan lebat berterusan di Vietnam ragut 16 nyawa

    HANOI, 20 NOV - Pasukan penyelamat mengeluarkan penduduk yang...

    Pertunjukan trashion serlah kreativiti, kelestarian SM Sayyidina Husain

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV - Sekolah Menengah Sayyidina...

    Terkini

    Hutan Hyrcanian UNESCO terbakar, Iran rayu bantuan antarabangsa

    TEHRAN, 23 NOV - Iran telah meminta bantuan luar...

    Deaflympics 2025: Malaysia pecah rekod dalam acara 4x100m

    TOKYO, 23 NOV - Walaupun gagal menempah slot ke...

    Angka korban gempa bumi di Bangladesh meningkat kepada 10

    DHAKA, 23 NOV - Dua gegaran kecil melanda Bangladesh...

    WHO isytihar wabak polio di Indonesia berakhir

    JAKARTA, 23 NOV - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah...