Friday, July 18, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran bantu perkenalkan erti kehidupan

    ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD

     

    DIADAPTASI daripada sebuah novel karya Mia Kiff, drama Halalkan Hati Yang Kucuri merupakan sebuah siri drama terbaharu yang menggandingkan Aliff Aziz dan Farah Nabilah sebagai teraju utama.

    Siri drama yang diarahkan oleh Hashim Rejab dibawah terbitan produksi Country & Universal Sdn Bhd ini turut menampilkan aksi lakonan Shah Iskandar, Mimi Lana, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid, Azri Iskandar, Afique Hussain, Alex Afian, Anne Abdullah, Zulkifli Ismail, Zarina Zainuddin, Emelie Hanif, Zalfa Zin, Azhan Rani dan Lia Asmizza.

    Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai pasangan muda suami isteri, Faiq lakonan Aliff Aziz dan Delisha lakonan Farah Nabilah yang satu kepala gemarkan kehidupan bebas, kemewahan, dan berseronok tanpa batas.

    Segala nasihat yang diberi adalah ibarat mencurah air ke daun keladi.

    Akibat merajuk ditegur keluarga, telah mendorong mereka untuk lari meninggalkan rumah.

    Drama Halalkan Hati Yang Kucuri menggandingkan aksi lakonan hebat seperti Farah Nabilah dan Aliff Aziz.

    Setelah sebulan, mereka pulang tetapi terkejut apabila keluarga mereka menghilang secara tiba-tiba.

    Banglo dijual dan syarikat keluarga bertukar hak milik kepada orang lain.

    Puas mereka mencari penyebabnya, namun tiada apa yang diperoleh.

    Keluarga tidak ditemui, duit pula kian habis. Akhirnya, hendak atau tidak mereka terpaksa memulakan kehidupan dari bawah kerana tiada apa lagi yang mampu digadai.

    Kini mereka faham, keluarga mereka bankrup kerana sikap boros mereka.

    Mereka terpaksa hidup bergelandangan dan dianggap sebagai pengemis. Dari situ, mereka juga belajar erti susah, dan berdikari.

    Tanpa disangka, Delisha hamil. Keharmornian rumah tangga mereka diganggu oleh Zainal lakonan Shah Iskandar, bekas kekasih Delisha yang muncul semula.

    Biarpun hubungan diuji, namun Faiq dan Delisha tetap tabah melaluinya.

    Faiq bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat baharu dan ditawarkan jawatan Pengurus Pemasaran setelah Faiq berusaha dan memberi pelbagai idea yang bernas kepada syarikat yang kian merudum itu.

    Delisha pula, dipelawa menjadi pereka fesyen di syarikat tersebut. Akhirnya syarikat tersebut kian maju.

    Lalu, apakah kesudahan kehidupan di antara Faiq dan Delisha dan untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Halalkan Hati Yang Kucuri yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di saluran TV3.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda