Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran bertahan di gurun, persediaan misi angkasawan

    JIUQUAN – Bahang panas matahari di kawasan gurun ternyata tidak melunturkan semangat tiga orang pelatih angkasawan yang keluar dari ruang kapsul di mana salah seorang daripada mereka dengan pantas menghubungi telefon satelit.

    “Sistem kawalan, ini adalah kru misi dan kami baru sahaja mendarat,” jelasnya.

    “Roger, sila jaga keselamatan anda dan kami sentiasa berhubungan dengan kamu,” balasan daripada sistem kawalan.

    Selamat datang ke latihan taikonaut 101. Seramai 15 orang pelatih dari Pusat Angkasawan China (ACC) telah diturunkan di Gurun Badain Jaran berdekatan dengan Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat China dan diarahkan untuk terus bertahan seolah-olah mereka baru sahaja mendarat ke bumi.

    Sebelum menuju ke langit, para angkasawan perlu terus bertahan di kawasan persekitaran teristrial di mana kaki mereka harus berupaya untuk berdiri tegak di atas tanah.

    Tiga orang pelatih angkasawan kelihatan cukup gembira kerana berjaya menangani cabaran untuk bertahan selama 48 jam di kawasan gurun yang sangat mencabar. – Xinhua
    Pelatih angkasawan ini harus sentiasa bersedia seperti keupayaan untuk berdiri tegak walaupun terpaksa memakai seragam angkasawan yang agak berat. – Xinhua

    Kebanyakan agensi angkasawan di seluruh dunia turut menganjurkan latihan yang sama.

    Sekumpulan angkasawan China yang turut dikenali sebagai taikonaut ini memang telah ditempatkan di kawasan gurun yang memiliki bekalan yang agak terhad.

    Latihan di kawasan gurun ini merupakan susulan daripada latihan kelangsungan hidup di kawasan laut yang telah dijalankan pada Ogos lalu dengan bantuan daripada dua orang angkasawan Eropah di kawasan pesisir Pantai Yantai di timur Wilayah Shandong China.

    Bagi ujian ketahanan diri ini, setiap ahli pasukan harus diarahkan untuk keluar dari kapsul lengkap dengan pakaian angkasawan, melaporkan lokasi mereka dan harus bertahan di kawasan gurun selama 48 jam.

    Para pelatih harus sentiasa bersedia dalam membiasakan diri dengan keadaan ekstrem di padang pasir khususnya dalam memahami cabaran seperti tahap kepanasannya di siang hari dan juga tahap kedinginan di malam hari.

    “Gurun ini sangat cantik namun di sebalik keindahan itu ternyata juga terselit beberapa cabaran yang harus dihadapi,” jelas Liu Wang, seorang taikonaut yang pernah menyertai misi angkasa Shenzhou-9 pada tahun 2012.

    “Cabaran yang paling sukar setentunya persekitaran yang teruk, adakalanya ia berada dalam keadaan berangin dan berdebu sehingga menjejaskan penglihatan walaupun ia hanya berada pada jarak kejauhan beberapa meter,” jelas Wang Yaping, salah seorang pelatih.

    Wang dikenali sebagai ‘guru angkasa kerana dia pernah menganjurkan program pembelajaran Sains khususnya berkaitan dengan kapal angkasa Shenzhou-10 pada tahun 2013 kepada sebilangan pelajar dan program tersebut juga turut ditayangkan di kaca televisyen.

    Kebanyakan pelatih yang meluangkan masa di Gurun Badain Jaran merasakan bahawa diri mereka terlalu kesunyian.

    Mereka harus terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan landskap di sekitar lokasi pendaratan.

    Pendaratan mereka pada waktu petang setentunya dalam keadaan panas tambahan lagi mereka tinggal di dalam kapsul dan setentunya terpaksa menunggu sehingga waktu senja untuk menantikan suhu tersebut menurun.

    Para pelatih harus sentiasa bijak dalam merencana kehidupan mereka dan harus mendapat perlindungan yang perlu dibina daripada barangan yang ditemui di kawasan persekitaran.

    “Setentunya ia adalah penting untuk memilih kawasan yang bersesuaian. Angin berada pada paras yang sangat kencang di mana ada kalanya ia mampu menimbus sekitar khemah,” jelas Liu Boming yang turut mengiringi Zhai Zhigang ketika melakukan misi pendaratan Shenzhou-7 pada tahun 2008.

    Mendirikan khemah setentunya memerlukan tenaga kerja yang cukup intensif. Fabrik yang digunakan adalah daripada payung terjun dan hanya dipotong dengan menggunakan pisau kecil.

    Pelatih angkasawan ketika keluar dari kapsul dan memulakan kembara mengharungi pelbagai cabaran di Gurun Badain Jaran, China. – Xinhua

    “Fabrik itu adalah sangat liat dan agak sukar untuk memotongnya mengikut bentuk yang anda inginkan. Beg pasir telah digunakan untuk dijadikan sebagai tiang kepada khemah tersebut dan proses penyiapannya pula memakan masa selama empat jam,” jelas Wang.

    Setentunya mereka akan sentiasa berasa lelah dan haus tambahan lagi bekalan air minuman mereka juga berada pada tahap yang cukup terhad.

    Bekalan air sebanyak lima liter setentunya akan digunakan sebaiknya oleh angksawan ini tatkala harus mengembara trek sejauh empat kilometer dalam sesi latihan ini.

    Biskut dan daging kering menjadi menu pengalas perut mereka sepanjang menjayakan misi ini.

    “Bekalan makan, minuman dan lain-lain di kawasan gurun ini jelas kelihatan cukup terhad yang memaksa kami untuk harus bijak dalam menggunakannya,” jelas Liu Boming.

    Selama dua hari mereka ditempatkan di kawasan terpencil itu dan mereka harus secara berterusan berusaha untuk mendapatkan pertolongan seperti menghubungi telefon satelit, mengirimkan lokasi dan meletakkan tanda SOS di kawasan berdekatan dengan khemah mereka.

    Untuk mengekalkan suasana hangat pada waktu malam, pelatih harus segera menyalakan unggun api dengan kaca pembesar yang dihalakan ke arah terik panas matahari di siang hari.

    Pada waktu malam, para pelatih ini lebih selesa untuk duduk di kawasan berdekatan dengan unggun api, berkongsi cerita mengenai kehidupan mereka, latihan dan ahli keluarga mereka walaupun hakikatnya mereka agak jarang bertemu.

    “Begitu banyak bintang yang sangat menawan dapat disaksikan menerangi suasana malam di kawasan gurun itu,” jelas Liu Boming.

    “Fenomena seperti ini setentunya agak sukar untuk disaksikan di kawasan bandar raya,” jelas Liu Wang.

    Sesuatu yang agak mengejutkan adalah apabila hujan juga turun pada hari kedua sekali gus membuatkan mereka bergegas untuk mendapatkan perlindungan di kawasan khemah sementara mereka.

    “Untuk terus menjimatkan tenaga menuju ke lokasi yang ingin dituju, kami harus melakukan kembara secara perlahan di samping mengimbanginya dengan bekalan yang kami miliki. Malah kami juga agak sukar untuk memilih apa yang wajar dibawa dan apa yang ditinggalkan bagi memudahkan lagi kembara yang dilalui,” jelas Wang.

    “Kerja berpasukan memang sangat penting dan cukup memiliki makna tersendiri bagi melancarkan proses pengembaraan ini,” jelas Wang.

    Timbalan Ketua Pereka di ACC, Huang Weifen menjelaskan bahawa latihan ini secara tidak langsung membantu untuk menguji kami sekali gus membuat persediaan sekiranya berlaku kecemasan khususnya berhubung dengan elemen kecemasan.

    Simulasi ini merupakan sebahagian daripada latihan intensif yang harus dilalui oleh taikonaut sebelum berpeluang untuk meneruskan tugasan di stesen angkasa China.

    China telah merancang untuk memulakan aktiviti pemasangan stesen angkasanya pada tahun 2020 dan ia dijadualkan untuk beroperasi secara sepenuhnya sekitar tahun 2022. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda