Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran bertugas dalam rakaman dokumentari abadikan pengalaman berharga

    Oleh Lenna N.B.

     

    RAKAMAN yang memaparkan realiti, rakaman yang menjadi bahan penting dalam sejarah dan rakaman yang berasaskan kepada situasi atau kehidupan sebenar. Begitulah Awang Abdul Waarith bin Haji Abdul Hamid, 26 yang menemui minatnya dalam rakaman filem dokumentari.

    Beliau cukup mengagumi cara sesebuah dokumentari itu dihasilkan bagi menggambarkan sesuatu peristiwa kehidupan.

    Walaupun tugasan di sebalik tabir rakaman itu penuh dengan cabaran namun beliau adalah antara penggiat filem tanahair yang tidak gentar untuk menghadapi cabaran itu. Apa yang penting bagi beliau adalah untuk merakamkan sesuatu detik yang mampu dihayati oleh khalayak dari hasil tangannya.

    Jatuh cinta pada lensa kamera

    “Saya sudah berjinak-jinak dalam penggunaan kamera sejak tahun 2003. Saya tertarik bagaimana sesebuah lensa itu mampu memperlihatkan perspektif dan idea yang berbeza.

    Awang Abdul Waarith turut menghadiri persidangan ‘Annual Conference 2017 Indonesia on the Road to Corporate Responsibility and Sustainability’ dan bertemu dengan usahawan-usahawan yang berjaya di Indonesia.
    Sebalik tabir projek rakaman bersama Bali Buda.
    Awang Abdul Waarith, ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.

    Bermula dari merakamkan gambar secara suka-suka, lama-kelamaan saya mula berjinak dengan kemahiran untuk merakam video. Sehinggalah, saya berkecimpung dalam filem dokumentari,” ujar Awang Abdul Waarith, atau terkenal dengan nama penanya, Ary.gato.

    Beliau telah berada dalam industri ini secara serius hampir dari 10 tahun, bermula sebagai seorang penggiat bebas (freelance) dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat produksi tanahair.

    Pada tahun 2016, beliau mula bergerak sendiri di bawah syarikat ‘Yay Media’ yang menawarkan perkhidmatan rakaman video, dan pada masa yang sama turut menerima pelbagai jemputan dari rakan-rakan yang memerlukan perkhidmatannya.

    Menurut Awang Abdul Waarith, sejak mula berkecimpung dalam bidang media ini, dia banyak melakukan kajian dan pembelajaran dengan sendiri.

    Dia suka bagaimana lensa kameranya mampu menyampaikan sesebuah cerita, walau padat dan ringkas, tetapi masih sampai kepada khalayaknya.

    Menariknya, Awang Abdul Waarith berani untuk melibatkan diri dalam filem dokumentari, walaupun bidang filem ini, agak jarang diminati oleh generasi-generasi sepertinya yang lebih suka kepada perfileman cerita pendek, majlis perkahwinan dan sebagainya.

    “Saya pernah bertanya kepada rakan-rakan saya, kenapa mereka tidak berminat dengan filem dokumentari, sedangkan saya sendiri terhibur apabila melihat dokumentari di televisyen. Mereka memberikan respon bosan kerana ia terlalu panjang. Dari situ, terbentuklah idea saya, untuk menghasilkan filem-filem dokumentari yang pendek iaitu antara dua hingga tiga minit sahaja. Walaupun pendek dan padat tetapi maklumat yang hendak disampaikan dapat difahami,” jelas Awang Abdul Waarith.

    Diupah syarikat terkemuka di Indonesia

    Sekitar bulan September tahun ini, Awang Abdul Waarith telah dihubungi dari seseorang yang tidak disangkakan. Salah sebuah syarikat besar dari Indonesia, Bali Buda menghubungi beliau dan menawarkan tugasan khas untuknya, iaitu mendokumentasikan sebalik tabir kegiatan syarikat tersebut, sebagai sebuah syarikat yang membekalkan pelbagai hidangan makanan sihat.

    “Mereka tertarik dengan sebuah gambar saya, yang telah dimuatnaikkan di laman web nationalgeographic.com iaitu sebuah gambar meriam yang saya rakamkan semasa dalam Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja. Mereka tertarik dengan gambar tersebut, seterusnya mendapatkan informasi mengenai latar belakang saya, sehinggalah mereka menghubungi saya dari Indonesia. Dua tiga hari kemudian, saya diterbangkan ke sana, dengan seratus peratus ditaja oleh Syarikat Bali Buda.”

    Awang Abdul Waarith telah bertolak dari Brunei pada 18 September dan baru kembali ke tanahair pada 17 Oktober ini. Kira-kira sebulan berada di sana, ternyata pengalaman beliau bukan sahaja merakamkan dokumentari untuk syarikat Bali Buda, tetapi juga merasai sendiri kesengsaraan pelarian-pelarian rakyat Indonesia yang terpaksa berpindah kerana keadaan gunung yang menunggu waktu untuk meletup.

    Suasana di salah sebuah kem penduduk Gunung Tahan yang kini menjadi pelarian berlindung menyelamatkan diri.
    Seluruh pelarian di kem perlindungan telah menerima bantuan daripada Bali Buda dan Badan Sukarela Dompet Sosial.

    Pengalaman di sepanjang penggambaran

    “Sebaik sahaja tiba di sana, saya ditugaskan untuk merakamkan sebalik tabir kilang pembuatan makanan mereka, sumbangan Bali Buda dalam membantu kegiatan kitar semula, aktiviti-aktiviti sukaralewan dan sebagainya. Dalam masa itu, saya turut hadir dalam sebuah acara persidangan iaitu ‘Annual Conference 2017 – Indonesia On The Road Corporate Responsibility and Sustainability’ anjuran Binus University di mana saya bertemu dengan usahawan-usahawan yang berjaya,” terang Awang Abdul Waarith.

    Menurutnya, di persidangan itu, dia bertemu dengan seorang lelaki, ‘Pak Mamat’ yang berdagang nasi goreng di tepi jalan iaitu tempat yang dilalui beliau setiap hari menuju ke kediamannya, rupa-rupanya adalah seorang usahawan yang memiliki enam hingga tujuh buah bangunan tinggi di sana. Namun, kerana minat yang tinggi untuk memasak hidangan jalanan, Pak Mamat tersebut lebih suka berdagang di tepi jalan daripada duduk di pejabatnya yang mewah.

    “Setiap hari banyak yang telah saya belajar tentang kehidupan. Contohnya, dari Pak Mamat ini, saya belajar bahawa kekayaan tidak semestinya membawa erti kebahagiaan, tetapi bagaimana semangat kental di dalam diri yang mendorong untuk mencapai cita-cita dan impian, seperti Pak Mamat ini, kerana impiannya untuk menjadi tukang masak, beliau lebih suka berdiri di tepi jalan memasak untuk pelanggan-pelanggannya.”

    Menurut Awang Abdul Waarith, Bali Buda sudah mempunyai lima buah cawangan di Bali. Di samping kejayaan mereka sebagai sebuah syarikat pembekalan makanan, mereka juga bekerjasama dengan badan-badan sukarela seperti Dompet Sosial dan Musolah Bkdi, untuk membantu orang-orang yang berkeperluan, sebagai sumbangan bakti kepada masyarakat.

    Ikut serta ke Gunung Berapi, Gunung Agung

    “Pada 30 September, kru Bali Buda sebenarnya memberi ruang untuk saya berehat, kerana pada hari itu, mereka akan bertolak ke Gunung Agung untuk memberikan bantuan kepada pelarian-pelarian Indonesia yang menyelamatkan diri di sebuah kawasan perlindungan, iaitu kawasan yang selamat daripada amaran letupan Gunung Agung. Namun, saya sebaliknya memilih untuk ikut mereka. Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mendokumentasikan detik penting ini bersama mereka.”

    Menurutnya, pada hari itu, mereka telah melalui kawasan amaran merah ke Gunung Agung, Daerah Karang Asam. Rumah-rumah dan kedai-kedai semuanya kosong umpama sebuah bandar yang telah mati. Kawasan tanah juga agak bergegar dan kelihatan ular-ular keluar dari tanah kepanasan.

    Awang Abdul Waarith hanya bertawakal dan berdoa dalam hati agar perjalanan mereka selamat.

    Apabila sampai di kem perlindungan, kelihatan keadaan mereka yang serba kekurangan. Anak-anak terpisah daripada ibu bapa, mungkin berada di kem perlindungan yang lain, begitu juga ibubapa kelihatan gelisah kerana risau tentang keberadaan anak-anak mereka. Bersama Bali Buda, Awang Abdul Waarith merakamkan detik mereka menyumbang makanan dan pakaian untuk perlarian-perlarian tersebut.

    Bersama Kamila Andini, salah seorang pengarah filem di Indonesia.
    Awang Abdul Waarith ketika bertugas melakukan rakaman di Gunung Agung.
    Menaiki kenderaan ambulan untuk menuju ke Gunung Agung.

    “Kelihatan wajah-wajah pelarian ini gembira dengan hantaran bantuan yang telah disumbangkan.

    Jika mengikut sejarah, Gunung Agung kali terakhir meletup dalam tahun 1960an mengorbankan ribuan penduduk di sana, justeru itu, amaran letupan ini setentunya menakutkan mereka terutamanya bagi penghuni di sana yang terpaksa lari dan berpindah tanpa membawa apa-apapun.

    Udara juga sudah kelihatan asap-asap kimia dari kesan gunung tersebut menunggu waktu untuk meletup.”

    Paling tidak disangkakan, ketibaan beliau di sana menjadi berita gembira bagi pelarian-pelarian tersebut. Menurut Awang Abdul Waarith, kebanyakan mereka sangat terharu apabila tahu dia datang dari Brunei, kerana mereka sentiasa kagum dengan pemimpin Brunei yang berjiwa rakyat. Malah, mereka juga bercita-cita hendak menjejakkan kaki ke Brunei suatu hari nanti.

    Catatan peristiwa yang bererti

    Walaupun kedatangannya ke Indonesia hanya sebagai tugasan, tetapi ternyata, hari-hari yang ditempuhi adalah umpama catatan peristiwa yang sungguh bererti. Melalui lensa kameranya, beliau menjadi saksi terhadap kehidupan masyarakat Indonesia, malah melihat sendiri detik-detik kesukaran yang dialami oleh para pelarian walaupun nyawa umpama berada di hujung tanduk.

    “Saya tidak sangka, dari minat saya dalam filem dokumentari membawa kepada catatan pengalaman dan peristiwa yang sungguh bererti.

    Setentunya, pengalaman ini adalah salah satu lagi pencapaian saya di bidang kerjaya ini, dalam industri media. InsyaAllah, saya ingin sekali lagi ke sana, melakukan dokumentasi yang boleh menjadi ristaan kepada genarasi kita,” ucap Awang Abdul Waarith di hujung temuramah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda