Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran besar menanti pemain tenis wanita Malaysia

    KUALA LUMPUR, 9 OKT – Cabaran getir bakal menanti skuad tenis wanita Malaysia pada saingan Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual bermula dari 9 hingga 20 Disember ini.

    Ketua jurulatih skuad tenis Malaysia, Mulyadi Jamal berkata, barisan pemain wanita negara dijangka akan berdepan tugas berat sekiranya pemain handalan seperti Alexandra Eala dari Filipina dan Janice Tjen dari Indonesia turut beraksi pada temasya dwitahunan itu.

    “Eala kini berada di ranking ke-54 dunia dan merupakan pemain yang pernah beraksi di kejohanan Grand Slam.

    “Seorang lagi pemain, Janice dengan kedudukan ke-99 dari Indonesia juga bakal menjadi saingan utama buat pemain kita, selain pemain Thailand yang turut berpotensi merebut pingat emas,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2025, Datuk Kenny Goh ke venue latihan skuad tenis kebangsaan, hari ini.

    Selain kehadiran Eala dan Tjen pada Sukan SEA 2025, Mulyadi berkata, faktor cuaca yang berkemungkinan panas juga menjadi antara rintangan perlu dihadapi anak buahnya memandangkan gelanggang venue di Pusat Pembangunan Tenis Nasional, Nonthaburi, tidak dilitupi bumbung.

    Pasukan tenis kebangsaan Malaysia semasa membuat persediaan di Sukan SEA Thailand di Pusat Tenis Nasional, pada 9 Oktober. – Bernama

    Ditanya mengenai sasaran diletakkan kali ini, Mulyadi berharap agar para pemainnya mampu memperbaiki pencapaian membawa pulang dua gangsa bagi kategori beregu lelaki dan berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

    “Kita menyasarkan pasukan lelaki mara ke final, manakala pasukan wanita diharap membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa,” katanya.

    Sementara itu, Kenny mengingatkan para pemain agar tidak menjadikan penyertaan di Sukan SEA sebagai ‘percutian’, sebaliknya bermain dengan penuh semangat untuk mencapai sasaran ditetapkan.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menasihatkan pemain supaya menjaga kesihatan dan mengelakkan kecederaan, memandangkan ada antara mereka bakal menyertai beberapa kejohanan sebelum temasya berlangsung. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda