Thursday, January 16, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran besar pengusaha PKS

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Kesan COVID-19 terhadap ekonomi di negara-
    negara seluruh dunia termasuk Brunei sudah tidak dapat disangkal lagi dengan kesan buruk pandemik ini terutamanya dapat dirasakan oleh para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Pada Sidang Media mengenai Status Terkini COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyentuh mengenai kepercayaan bersama antara pelanggan dan pembekal perkhidmatan seperti tukang gunting rambut, salun kecantikan dan lain-lain di samping supaya mereka sentiasa menjaga kebersihan diri.

    Sementara itu, dalam tinjauan media ke beberapa buah salun kecantikan dan kedai gunting, hari ini, rata-rata menyambut baik saranan dan garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dalam mengawal penularan Covid-19 di negara ini.

    Pemilik Hanan Tasnim Spa & Reflexology yang menawarkan pelbagai perkhidmatan urutan, facial, spa kaki dan tangan menjelaskan, penurunan pendapatan telah dapat dilihat pada pertengahan Januari.

    Beliau seterusnya berkata, melihat kepada jumlah kes COVID-19 di negara ini, mereka terpaksa menutup salun selama seminggu ke arah mengambil langkah berjaga-jaga selain memastikan semua kakitangan berada dalam keadaan yang baik dan mengingatkan untuk menjaga kebersihan diri.

    Salah sebuah salon kecantikan yang turut terjejas disebabkan wabak COVID-19.

    “Selain itu, kami juga membekalkan vitamin, sabun dan pencuci tangan antibakteria serta gel pembasmi kuman,” tambahnya.

    Sebagai sebuah spa, ujarnya lagi, kebersihan sentiasa menjadi keutamaan bagi mereka demi keselamatan dan keselesaan pelanggan di samping itu, mereka juga sering membuat pembersihan harian di premis dengan menggunakan peralatan pembasmi kuman.

    Beliau seterusnya berkongsi mengenai cabaran perniagaan masa kini terutama pada enam minggu kebelakangan di mana beberapa perkara yang perlu diselesaikan antaranya pembayaran sewa bangunan, gaji pekerja dan pinjaman start-up.

    “Kami tahu bahawa semua orang menghadapi masalah yang sama dan berharap bersama PKS yang lain akan berjaya melalui masa yang sukar ini dan terus kekal mapan,” tambahnya.

    Manakala itu, pemilik M-Image Beauty Studio, Hajah Roskhalilah ketika ditemu bual berkata, COVID-19 memberi impak bukan saja kepada perniagaan salon kecantikannya tetapi juga orang lain.

    “Sebenarnya, untuk cuti persekolahan, beberapa perancangan telah dibuat untuk mengadakan kelas kecantikan untuk golongan remaja tetapi terpaksa dibatalkan disebabkan COVID-19 ini.

    “Keutamaan kami adalah untuk menjaga kesejahteraan pelanggan dan kakitangan kami,” tekannya.

    Sehubungan itu, tambah beliau, mereka juga telah mengatur beberapa pelan dengan mengadakan pertandingan gambar di mana gambar yang banyak Like di media sosial akan diberikan hadiah. Dalam pada itu, seorang pekerja kedai gunting di Serusop turut mengakui bahawa terdapat penurunan pelanggan yang datang ke kedai di mana mereka dibayar gaji bergantung kepada komisen berapa ramai pelanggan.

    “Kami gembira kerana tidak ada arahan untuk menutup kedai-kedai gunting tetapi jumlah yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan ketara berkurangan sejak kes pertama dilaporkan di negara ini,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda