ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
SETENTUNYA ramai individu yang berasa gembira tatkala mula menghitung hari untuk bergelar Ratu atau Raja Sehari.
Namun tidak mustahil juga wujud pelbagai cabaran dalam perjalanan menuju ke arah kebahagiaan itu.
Lalu, perkara tersebut yang cuba ditonjolkan dalam drama terbaru berjudul Inai Yang Hilang terbitan Padi Pictures Sdn Bhd. Drama yang diarahkan oleh Amor Rizan itu dibintangi oleh Kaka Azraff, Aishah Azman, Ben Amir, Ikmal Amry, Syainie Aida, Dynas Mokhtar, Wilma Muhammad, Arash Mohd, Ridzuan Hashim, Edika Yusof dan Nor Aliah Lee.
Ia mengisahkan mengenai sebuah keluarga yang sedang gembira apabila mendengar perkhabaran anak sulung mereka, Sara bakal mendirikan rumah tangga bersama teman lelakinya, Razif.
Setelah malam berinai, Sara seperti gusar dan ingin memberitahu sesuatu kepada adiknya, Ika. Namun, tidak berkesempatan untuk memberitahu Ika, Sara telah hilang dari rumah pada keesokan harinya.

Suasana rumah itu huru hara kerana panik dengan kehilangan itu. Mulai hari itu, setiap orang menjadi suspek siasatan pencarian Sara.
Keluarga Razif menyalahkan Wan Jamil yang sengaja melarikan Sara. Pelbagai spekulasi mula keluar di media sosial.
Perkara ini lebih meyakinkan lagi apabila Wan Jamil juga hilang tanpa jejak secara tiba-tiba.
Isteri Wan Jamil, Noraini juga tertekan apabila dia mula menerima pelbagai ugutan.
Razif semakin tertekan dengan kehilangan Sara, dan cuba dipujuk oleh Mimi. Razif meminta bantuan orang ramai di laman Instagramnya dan menjanjikan hadiah duit
Lalu apakah kesudahan kisah perkahwinan di antara Sara dan Razif. Apa pula faktor yang membuatkan Sara hilang secara tiba-tiba. Untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Inai Yang Hilang yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 8.30 malam di saluran NTV7.