Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN – Sejak lima dekad lalu Industri Servis Kewangan Islam (IFSI) kembali berkembang, ia telah membuktikan satu daya tahan serta kemampuannya dalam menempuhi cabaran ekonomi global. Tahun demi tahun kadar peningkatan lebih baik dapat dilihat jika dibandingkan dengan rakan niaga konvensional meskipun terdapat cabaran global seperti kemerosotan harga minyak, perkembangan ekonomi global yang perlahan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2015 dan 2016, IFSI telah mencatatkan penurunan kadar perkembangannya dalam semua sektor. IFSI perlu diperkembangkan lagi terutama di negara bukan OIC bagi menambah lagi daya tarikan dan pertumbuhan ekonominya.
Perkara ini ditekankan oleh profesor di Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Profesor Dr. Engku Rabiah Adawiyah binti Engku Ali semasa menyampaikan ucaptamanya yang bertajuk Isu, Cabaran dan Prospek Masa Depan Perbankan dan Kewangan Islam dalam Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam (AICIF) kali kelima yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong Polo & Country Club baru-baru ini.
“Dengan sokongan kuat daripada kerajaan, Negara Brunei Darussalam sentiasa berada di hadapan dalam mengutamakan Islam dan perlaksanaan Shariah, termasuk dalam sfera pembangunan ekonomi dan kewangan” tambah beliau lagi.
Menarik lebih banyak pelabur
IFSI perlu menarik minat para pelabur, terutama sekali dengan menawarkan keuntungan yang mencukupi namun malangnya meskipun telah mempertahankan pulangan terhadap aset (ROA) dan pulangan terhadap ekuiti (ROE) pada dua tahun kebelakangan ini, margin keuntungan bersih IFSI ternyata menurun hingga 40 peratus.


Beliau menjelaskan lagi penumpuan berlebihan IFSI pada satu sektor dilihat kurang berkesan kerana adalah merupakan satu keperluan untuk menyeimbangkan kelas aset yang lain seperti Sukuk, dana Islam dan takaful untuk menambahkan lagi kepelbagaian.
Tahun lalu melihatkan peningkatan bagi tiga sektor ICM berbanding tahun sebelumnya disebabkan kembalinya pasaran dana Islam. Sukuk global bertambah sebanyak 6.06 peratus pada harga AS$318.5 bilion setakat akhir tahun lepas berbanding tahun 2015 dan pengeluaran dalam pasaran utama juga mengalami peningkatan 16.3 peratus kepada AS$74.8 bilion pada tahun 2016 disebabkan peningkatan penghasilan oleh sovereigns dan GRE.
Namun begitu, pasaran Sukuk telah gagal untuk mengekalkan momentumnya seperti tahun sebelumnya terutamanya pada tahun 2012-2014 apabila penghasilan tahunannya melebihi USD$100 bilion berturut-turut dan krisis pasca kewangan melanda pada tahun 2009-2014, apabila Sukuk bertambah secara luar biasa pada Compound Annual Growth Rate (CAGR) sebanyak 19.56 peratus.
Bersatu
Profesor Dr. Engku Rabiah juga menekankan bahawa dalam usaha untuk mengelakkan penurunan terjadi, ia memerlukan usaha untuk bersama bersatu dalam menjadikan pasaran Sukuk sekali lagi mendapat minat syarikat untuk lebih serius mempertimbangkan Sukuk dalam pelan kewangan syarikat mereka. Penurunan sedikit pada angka dana Islam dalam pasaran kepada 1,167 dari 1,220 pada tahun 2015 dan dengan 341 dana tidak aktif setakat penghujung tahun 2016.
Bagi mengatasi isu ini, IFSB Stability Report 2017 menyarankan supaya dana Islam dapat menerokai gabungan yang berpotensi dalam usaha untuk menjadikannya terus bertahan dan berdaya saing dalam industri dana global.
Sebelum mengakhiri ucaptamanya, Profesor Dr. Engku Rabiah mengakhiri dengan menjangkakan kondisi ekonomi akan menjadi lebih baik dalam tahun-tahun yang akan datang, sudah semestinya banyak prospek positif bagi IFSI namun beberapa langkah strategik perlulah dilakukan bagi memacu industri menjadi lebih besar dan dapat memberi impak.