KUALA LUMPUR, 8 JAN – Cabaran demografi yang kini dihadapi oleh negara ASEAN menjadi antara perkara penting yang harus ditangani oleh Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 untuk 20 tahun akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi AEC, Satvinder Singh berkata isu itu perlu ditangani kerana tatkala blok itu bergerak menuju komuniti berpendapatan sederhana atas, sesetengah negara ASEAN berhadapan populasi penduduk yang semakin menua.
“Lihat sahaja Singapura, Thailand, Brunei dan malah Vietnam, kebanyakan penduduk mereka kini memasuki populasi menua.
“Demografi dan penuaan, ini adalah perkara yang perlu kita ambil kira dalam merancang dan menyusun semula ACV yang dijangka dilancarkan tahun ini di bawah kepengerusian Malaysia,” katanya dalam pembentangan bertajuk Memimpin ASEAN Ke Arah Masa Depan Inklusif dan Mampan hari ini.
Sementara itu, dalam Persidangan Pandangan Pemimpin Ekonomi ASEAN: Tinjauan Untuk 2025, Satvinder berkata dengan menangani cabaran tersebut, ia boleh meningkatkan kekuatan domestik semua negara di sebalik ketidaktentuan persekitaran geopolitik.
Negara-negara ASEAN kemudiannya akan dapat bertahan daripada sebarang gangguan, terutamanya dalam merealisasikan blok itu sebagai kuasa pertengahan serantau, katanya. – Bernama
