Saturday, November 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran di TikTok bahayakan nyawa kanak-kanak

    GJAKOVA – Sebuah kawasan sunyi di Kosovo mendapat perhatian umum selepas para ibu bapa dan guru mendapati beberapa kes mencederakan diri sendiri dalam kalangan kanak-kanak yang dikaitkan dengan cabaran di TikTok.

    Insiden pertama di Gjakova mula dikesan bulan lalu apabila seorang ibu yang cemas menghubungi pihak berkuasa tempatan, menurut Pegawai Pendidikan Daerah, Eranda Kumnova-Baci.

    “Ibu tersebut memberitahu saya bahawa anak perempuannya berusia 12 tahun, bersama beberapa rakannya, telah mencederakan diri sendiri dengan melukakan tangan kerana terpengaruh dengan satu video cabaran di TikTok,” kata Kumnova-Baci kepada AFP.

    Susulan itu, dia segera mengarahkan pengetua, guru dan pakar psikologi sekolah untuk melakukan siasatan.

    Pihak sekolah mendapati sekurang-kurangnya 22 kes cedera diri sendiri membabitkan pelajar perempuan dari beberapa sekolah di bandar itu.

    Eranda menunjukkan gambar pada telefon pintarnya semasa satu temu bual bersama wartawan AFP di Gjakova. – AFP
    Eranda bercakap semasa satu temu bual bersama wartawan AFP di Gjakova pada 22 Oktober. – AFP
    Pegawai Polis Kosovo berjalan melintasi sebuah sekolah berhampiran bandar Gjakova. – AFP
    Seorang bapa membantu anaknya di hadapan sebuah sekolah berhampiran bandar Gjakova. – AFP
    Murid-murid semasa menghadiri kelas di sebuah sekolah berhampiran bandar Gjakova. – AFP

    Kumnova-Baci berkata, pada mulanya mereka menyangka pelajar-pelajar itu hanya melukakan tangan.

    “Namun, selepas pemeriksaan perubatan, kami dapati terdapat pelajar yang mengalami kecederaan di hampir seluruh tubuh mereka,” ujarnya.

    Kejadian mencederakan diri sendiri dalam kalangan remaja perempuan di Gjakova mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang kini mencari penjelasan dan penyelesaian.

    “Ini benar-benar mengejutkan sistem pendidikan kami dan saya percaya ia telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

    TikTok yang terkenal di seluruh dunia sebahagiannya dibina atas kejayaan cabaran interaktif – mengajak pengguna mencipta video yang berunsur tarian, jenaka atau permainan yang mudah menjadi tular.

    Ibu kepada salah seorang mangsa yang terlibat berkata, kanak-kanak seawal usia sembilan tahun turut terpengaruh selepas menonton salah satu video di TikTok.

    “Ia merupakan satu ‘permainan’ yang melibatkan remaja perempuan berusia antara sembilan hingga 17 tahun di TikTok… mereka meniru dan bertindak seperti dalam video yang dimuat naik,” katanya.

    Ibu tersebut, yang identitinya tidak didedahkan AFP demi melindungi anak perempuannya, menggesa agar aplikasi itu diharamkan.

    “Aplikasi ini menyiarkan segala bentuk kandungan, termasuk yang berbahaya. Saya berpendapat kerajaan harus mengharamkan TikTok,” katanya lagi.

    “Kebimbangan ini adalah yang terbesar dalam hidup saya,” tambahnya, sambil memberitahu bahawa anaknya turut merakam kecederaannya sendiri melalui telefon bimbit.

    Menurut garis panduan rasmi TikTok, video yang mempromosikan perbuatan mencederakan diri dan bunuh diri adalah dilarang sama sekali.

    “Kami mahu TikTok menjadi platform untuk perbincangan mengenai topik emosi yang rumit dengan cara menyokong, tanpa meningkatkan risiko kemudaratan. Kami tidak membenarkan paparan, promosi atau perkongsian sebarang rancangan berkaitan bunuh diri atau mencederakan diri,” menurut kenyataan di laman web TikTok.

    Para pakar telah lama memberi amaran bahawa platform media sosial boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental pengguna muda melalui ketagihan aplikasi, buli siber serta isu imej tubuh dan harga diri.

    Tahun lalu, Pakar Bedah Umum Amerika Syarikat, Vivek Murthy, menyeru agar tindakan diambil segera untuk memastikan platform media sosial tidak merosakkan generasi muda.

    “Kita berada di tengah-tengah krisis kesihatan mental belia negara dan saya bimbang media sosial adalah salah satu faktor utama yang menyumbang kepada krisis ini, yang perlu kita tangani segera,” kata Murthy.

    Di Gjakova, sumber yang rapat dengan mangsa berkata ramai yang mencederakan diri sebagai cara untuk mengatasi perasaan tertekan. Ada juga yang mahu menguji ketahanan terhadap kesakitan.

    “Lebih membimbangkan lagi permainan ini bermula dengan beberapa luka kecil,” kata Kumnova-Baci.

    Penduduk tempatan memberitahu AFP bahawa penemuan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat, iaitu sebuah bandar dengan populasi kira-kira 78,000 orang berhampiran sempadan Albania.

    “Amat sukar bagi kami untuk menerima kenyataan bahawa anak-anak kita mencederakan diri sendiri,” kata seorang pengurus perniagaan dari Gjakova yang juga bapa kepada tiga anak Besfort Krasniqi, 45.

    “Ia bukan sahaja isu besar, malah sangat merisaukan,” tambah Qendresa Hoti, seorang pendandan rambut berusia 32 tahun.

    “Saya mempunyai anak kecil dan walaupun tidak terlibat secara langsung dalam kes ini, ketakutan kami bertambah apabila anak-anak semakin membesar.”

    Kumnova-Baci berkata pihak pendidikan kini melancarkan inisiatif baharu untuk mendidik pelajar mengenai bahaya kandungan media sosial.

    Mirevete Aziri, pakar pendidikan dan psikologi, berkata insiden mencederakan diri ini mungkin berkaitan dengan ‘akses tidak terkawal anak-anak kepada rangkaian sosial, walaupun ketika berada di sekolah dan di rumah’.

    Drin Domi dari pejabat pendakwa tempatan berkata siasatan polis terhadap insiden ini telah dibuka.

    Kerajaan Kosovo sebelum ini melarang pegawai kerajaan dan institusi daripada menggunakan TikTok pada peranti rasmi sejak Jun lalu, dengan alasan ‘ancaman siber.’– AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda