PYEONGCHANG – Acara Sukan Olimpik Musim Sejuk bakal kembali tidak lama lagi.
Dua tahun lalu, acara Sukan Olimpik Musim Sejuk telah berjaya menarik perhatian penonton dengan menampilkan aksi-aksi sukan menarik yang disertai oleh barisan atlet hebat di Rusia.
Kini, sekali lagi barisan atlet tersebut akan menampilkan lebih banyak aksi-aksi hebat yang bakal ditonjolkan di kawasan pergunungan, Pyeongchang, Korea Selatan.
Setentunya para atlet ini harus mempersiapkan diri mereka bukan sahaja untuk melakukan pelbagai aksi menarik bahkan juga mereka harus berhadapan dengan cabaran untuk berada dalam lingkungan suhu cuaca yang teramat sejuk.
Tahap suhu sejuk di kawasan pergunungan itu boleh menjadikan air mata mengalir menjadi beku, dakwat pen pula akan kelihatan lembap dan cepat memudar.

Berhadapan dengan cuaca sejuk tersebut ada kalanya juga turut meningkatkan risiko atlet yang menyertai acara sukan ini berkemungkinan untuk berhadapan dengan risiko hipotermia yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.
“Kami berharap agar suhu cuaca pada bulan Februari akan kembali beransur pada tahap yang baik kerana jika cuaca seburuk ini berlarutan setentunya ia akan menimbulkan pelbagai masalah terutama kepada individu yang tidak biasa berada pada iklim yang sejuk,” jelas Choi Jong-sik, 64 sambil memperlihatkan lapisan pakaiannya ketika ditemubual oleh Associated Press.
Vancouver dan Sochi pernah dicadangkan menjadi lokasi penganjuran itu namun cuaca di situ dikatakan agak panas berbanding Pyeongchang yang setentunya bakal berjaya menarik minat penonton untuk menyaksikan barisan atlet dalam menyempurnakan pelbagai cabaran.
Lokasi Pyeongchang terletak pada kedudukan setengah batu di atas paras laut di kawasan timur Korea Selatan dan sempadannya juga cukup dekat dengan kawasan Korea Utara.
Ia merupakan salah satu kawasan terdingin di Korea Selatan di mana angin sejuk pada paras suhu mececah satu digit sering bertiup dan dapat dirasai di kawasan pergunungan itu pada sekitar bulan Februari.
“Sebagai langkah persiapan kepada warga asing tidak kira sama ada bakal menyertai acara sukan ataupun hanya sekadar menjadi penonton adalah dinasihatkan untuk menyediakan pakaian tebal sebagaimana penduduk tempatan lain. Tidak ramai yang mengetahui sejauh mana tahap kesejukan di kawasan ini dan hakikatnya ia jelas berbeza dengan tempat-tempat yang lain,” jelas Nam Sun-woo, 60 seorang pengusaha ternakan ikan di Pyeongchang.
Cuaca di Stadium Olimpik Pyeongchang di kawasan perkampungan Hoengye itu setentunya bakal menjadi satu cabaran besar dihadapi oleh para atlet dan penonton.
Stadium tersebut dibina dengan kos setinggi AS$107 juta yang dapat menampung tempat duduk sebanyak 35,000.
Bagaimanapun salah satu perkara yang menjadi perdebatan di kalangan warga tempatan adalah kos yang dilaburkan adalah tinggi bagi sebuah stadium yang hanya akan digunakan bagi empat acara termasuk pembukaan dan penutupan sukan itu. Lebih menyedihkan lagi adalah apabila stadium itu bakal dirobohkan selepas acara sukan ini berakhir.
Panorama dari aras 17 pada sebuah bangunan berdekatan jelas memperlihatkan struktur bangunan stadium tersebut ibarat susunan LEGO yang cukup kreatif.
Bangunan stadium tersebut dibina di atas kawasan pergunungan dan ia juga menampilkan susunan kerusi berwarna terang seperti merah jambu dan jingga.
Malah sinaran matahari yang cerah dan memasuki ruang dalaman bangunan muzium itu juga turut menerangi suasana di dalamnya.
Angin bertiup di kawasan stadium itu juga kedengaran cukup kencang sehingga ada kalanya ia membunyikan deretan atap pada struktur bangunan stadium di mana ia juga menimbulkan rasa terkejut di kalangan penduduk setempat.


Antara kelemahan yang ada pada struktur binaan muzium itu adalah dari ciri-ciri keselamatannya di mana penonton mungkin akan berada di kawasan terdedah kepada iklim cuaca sejuk selama lebih dari lima jam.
Lebih menghampakan lagi apabila stadium tersebut tidak dilengkapi dengan sistem pemanas malah untuk meliputi ruang stadium yang majoritinya terbuka itu dengan atap juga agak mustahil dalam mengambil kira kos yang perlu dilaburkan.
Pihak penganjur telah merancang untuk menyediakan baju hujan, selimut kecil dan pad pemanas kepada setiap penonton yang menghadiri acara di Stadium Olimpik itu
Malah pihak penganjur juga telah merancang untuk meletakkan dinding polikarbonat pada kawasan tempat duduk di bahagian aras atas sebagai langkah untuk menghalang tiupan angin yang boleh memberikan kesan buruk kepada penonton.
Di samping itu, lebih dari 40 pemanas gas mudah alih turut akan dipasang di antara lorong tempat duduk bagi memastikan penonton kekal selesa ketika menonton acara yang cukup berprestij ini.
Dalam memastikan keselesaan para penonton di stadium itu, pondok jualan yang menawarkan pelbagai hidangan menarik seperti teh, kopi, roti dan sebagainya turut dibangunkan.
Menurut laporan rasmi dari Korea Selatan, suhu cuaca di kawasan stadium itu sewaktu acara Sukan Olimpik Musim Sejuk itu dilancarkan nanti boleh mencecah sehingga -14 C di mana ia adalah jauh lebih dingin daripada Vancouver dan Sochi yang memiliki suhu cuaca mencecah 4-5 C.
Sewaktu wartawan AP mengunjungi kawasan berkenaan pada awal bulan ini suhu cuaca sejuk mencecah sehingga -18C.
Manakala, kawasan pesisiran pantai seperti Gangneung yang menjadi lokasi bagi penganjuran acara sukan luncur ais dan hoki pula dikatakan agak panas berbanding Pyeongchang.
Bagaimanapun, pelancong yang mengunjungi kawasan tersebut tetap menyarungkan kot tebal kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk di kawasan itu.
“Riak wajah teruja jelas dapat dilihat pada warga tempatan tatkala menyambut ketibaan para pelancong ke kawasan ini,” jelas Choi.
Dalam pemanduan menuju ke kawasan pergunungan itu, pengunjung akan dapat menyaksikan panorama indah menghala ke arah sungai, hutan dan puncak bukit granit yang berada dalam keadaan beku.
“Setentunya cuaca di kawasan ini adalah cukup sejuk namun kami sebagai penduduk di kawasan ini memang sudah terbiasa untuk berada dalam keadaan iklim yang cukup mencabar ini,” jelas Ahn Young Ju, 36, seorang pemilik restoran di bandar terpencil, Nammyeon yang terletak di Daerah Jeongseon. – AP