Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran industri F&B dalam Fasa peralihan Endemik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Gelombang kedua wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam tidak dinafikan memberikan kesan kepada banyak perniagaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terpaksa melalui masa yang amat mencabar dengan pelaksanaan langkah-langkah kawalan COVID-19 yang diperkenalkan untuk mengawal penularan jangkitan virus berkenaan.

    Industri makanan dan minuman (F&B) tidak terkecuali terjejas dengan langkah-langkah kawalan yang diperkenalkan dan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka, usahawan industri makanan dan minuman memperkenalkan pelbagai penyelesaian inovatif.

    Sebilangan besar restoran, gerai dan pengusaha makanan dan minuman menggunakan serta menawarkan perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan kepada pelanggan-pelanggan mereka.

    Perkhidmatan penghantaran makanan serta platform jualan dalam talian merupakan antara penyelesaian inovatif yang diketengahkan semasa forum maya, Siri SME360 BIBD yang pertama, baru-baru ini, di mana ia membincangkan dan mengetengahkan industri makanan dan minuman di Brunei khususnya keadaan pasaran semasa fasa peralihan endemik, mencerminkan sentimen pasaran serta bagaimana perniagaan makanan dan minuman tempatan menyesuaikan diri kepada norma baharu berkenaan.

    Dalam topik perbincangan pertama bagi forum maya bertajuk Endemik: Impak, Pembukaan Semula dan Keadaan Pasaran itu mengetengahkan panel pembentang yang terdiri daripada Pengasas Bersama GoMamam, Hadi Wahab; Pengasas Bersama Bake Culture dan Gong Cha Brunei, Nicky Wong dan pempengaruh media sosial, Thanis Lim dengan moderatornya, Pengasas Curious Mind, Shaun Hoon.

    Hadi Wahab memberikan pene-rangan mengenai industri F&B di Brunei semasa Fasa Awal Endemik.
    Thanis menjawab persoalan yang dikemukakan semasa sesi forum maya berkenaan.
    Shaun menerangkan mengenai keadaan pasaran F&B di Brunei semasa sesi forum maya itu.
    Nicky Wong memberikan panda-ngannya kepada persoalan yang dikemukakan.

    Semasa Fasa Awal Endemik dengan restoran serta premis makanan dan minuman dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan dine-in, secara purata para panel berkata bahawa jumlah pengunjung yang memilih untuk makan di premis menunjukkan sedikit peningkatan dan terdapat juga perniagaan yang menunjukkan peningkatan
    signifikan.

    Mereka berkata bahawa dengan keadaan penularan COVID-19, masih terdapat sebilangan pengunjung yang masih belum selesa untuk makan dan minum di premis atau restoran di mana mereka masih memilih menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah atau pick-up.

    Namun begitu, jumlah pengunjung bagi sesetengah restoran juga mula menunjukkan peningkatan dari minggu ke minggu dengan para pengunjung yang telah melengkapkan vaksinasi kembali untuk makan di premis makanan dan minuman pilihan mereka terutamanya restoran atau perniagaan yang mempunyai asas pelanggan setia yang besar.

    Pada masa yang sama, perkhidmatan penghantaran makanan masih menjadi pilihan bagi pengguna dan perniagaan di mana terdapat pelanggan yang masih memilih untuk pesanan makanan dan minuman mereka dihantar terus ke rumah terutamanya bagi restoran atau pengusaha makanan dan minuman PMKS serta pengusaha yang menggunakan media sosial untuk mengetengahkan produk masing-masing.

    Satu dapatan yang menarik semasa sesi perbincangan berkenaan adalah terdapat pelanggan yang menghubungi pihak restoran untuk mengetahui jika restoran berkenaan mempunyai ramai pelanggan yang berada dalam premis tetapi pertanyaan itu bukannya kerana bagi membuat tempahan, ia adalah supaya mereka memilih untuk berkunjung ke restoran atau premis yang mempunyai kurang pelanggan serta kurang sesak.

    Ahli panel menjelaskan bahawa masih terdapat kerisauan dalam kalangan pengunjung untuk berada dalam premis yang mempunyai ramai pelanggan di mana terdapat sesetengah pengunjung yang akan memilih pergi ke restoran atau premis yang mempunyai kurang pelanggan di dalamnya sebagai langkah berjaga-jaga.

    Para panel juga menyatakan bahawa ia akan mengambil masa bagi para pengunjung untuk lebih selesa berada di dalam sesebuah restoran atau premis di mana mereka akan membuat beberapa pertimbangan sebelum memilih bagi makan dan minum di sesebuah premis seperti kebersihan, ruang tempat duduk dan juga pengudaraan di premis berkenaan.

    Semasa sesi perbincangan itu, para peserta yang menyertai forum berkenaan terdiri daripada pengusaha dan pemilik perniagaan industri makanan dan minuman berpeluang untuk memberikan respons mereka terhadap beberapa soalan mengenai keadaan industri makanan dan minuman khususnya semasa Fasa Awal Endemik dan juga semasa pandemik.

    Kira-kira 65 orang peserta memberikan respons mereka kepada soalan-soalan yang dikemukakan di mana ia memberikan beberapa dapatan yang menarik termasuk bagi persoalan mengenai faktor yang paling banyak menjejaskan perniagaan mereka semasa Fasa Awal Endemik di mana kira-kira 45 peratus responden berkata bahawa kekura-ngan kakitangan merupakan faktor utama manakala itu, 29 peratus responden berkata bahawa kekurangan pelanggan menjejaskan perniagaan mereka.

    Bagi persoalan mengenai sama ada perkhidmatan take-out membantu untuk mengimbangkan kekurangan perniagaan dine-in semasa pandemik berkenaan, sebanyak 43 peratus responden menyatakan bahawa perkhidmatan take-out membantu mereka manakala 57 peratus menyatakan bahawa ia tidak membantu.

    Pada akhir sesi perbincangan itu, ahli-ahli panel berkata bahawa ia akan mengambil masa beberapa bulan bagi industri makanan dan minuman untuk pulih daripada kesan gelombang kedua COVID-19 serta menyatakan bahawa bagi perniagaan atau perusahaan yang dapat kembali dengan lebih kukuh, ia memerlukan mereka untuk terus memberikan penekanan kepada kualiti perkhidmatan dan produk yang ditawarkan kepada pelanggan serta tidak kurang pentingnya adalah memberikan keutamaan kepada kebersihan dan keselesaan premis bagi pelanggan dan juga pekerja masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda