Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Dalam sama-sama menyokong dan memeriahkan Program Bandarku Ceria, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Panchor Mengkubau telah menganjurkan Cabaran Joran yang berlangsung di Dermaga Diraja di ibu negara, pagi tadi.
Hadir menyaksikan pertandingan tersebut selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad yang turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Antara lain objektif cabaran berkenaan adalah memberi peluang kepada para penggemar aktiviti memancing untuk beriadah di hujung minggu dalam suasana keceriaan.
Pengerusi acara, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat dalam ucapannya berkata, selain menyerikan kemeriahan suasana Bandarku Ceria, Cabaran Joran bertujuan untuk mengumpulkan para peminat joran dan bersilaturahim sesama mereka.

“Pertandingan ini juga bertujuan sebagai memupuk kesefahaman dan perpaduan di kalangan ahli jawatankuasa MPK bersama dengan para peserta. Selain untuk menyahut seruan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengamalkan cara hidup sihat dengan melakukan aktiviti sukan dan riadah,” tambahnya.
Acara yang julung-julung kalinya diadakan itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama daripada penggemar aktiviti memancing dengan seramai 262 orang peserta.
Aktiviti-aktiviti sampingan seperti permainan untuk kanak-kanak serta para pengunjung dan bazar jualan juga diadakan bagi memeriahkan lagi acara tersebut.