Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran korporat BN on the Move utamakan kesihatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Bank Baiduri telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi cabaran korporat BN on the Move mereka, mengumumkan kemas kini aplikasi BruHealth semasa Hari Terbuka Kesejahteraan di Ruang Komuniti Baiduri awal minggu ini.

    Timbalan Ketua Sumber Manusia Kumpulan Bank Baiduri, Chiam Chin Huei dipetik berkata, “Kami berbangga menjadi syarikat pertama yang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk cabaran korporat BN on the Move.

    “Kami faham orang ramai sering mengabaikan kesihatan dan kesejahteraan mereka kerana tuntutan kerja. Kami mahu menggalakkan pekerja kami memantau dan mengutamakan kesihatan dengan menyediakan mereka seberapa banyak alat dan sumber yang boleh melalui perkongsian dengan pakar-pakar industri,” tambahnya.

    Menurut Baiduri, cabaran berkenaan adalah sebagai salah satu daripada beberapa aktiviti di bawah cabaran korporat BN on the Move, 100 Day Wellness Challenge Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (EWI) bank itu yang telah bermula pada 9 Oktober dan akan berjalan hingga 19 Januari 2024.

    Lebih 170 peserta telah mendaftar untuk cabaran EWI yang akan menampilkan satu siri aktiviti merangkumi empat dimensi kesejahteraan iaitu mental, fizikal, rohani dan kewangan, di mana ia juga akan merangkumi kelas kecergasan, bengkel kesedaran dan sumber pemakanan sihat, serta pertandingan mesra dan cabaran untuk memotivasikan kakitangan.

    Kakitangan Kementerian Kesihatan dan Fuel Brunei bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Peserta dijangka akan menghadiri sekurang-kurangnya satu aktiviti semasa cabaran EWI, manakala cabaran korporat BN on the Move adalah wajib untuk semua yang terlibat.

    Matlamat kolektif sebanyak 60 juta langkah telah ditetapkan dan juga akan dikira dalam kempen 80 Billion Langkah Bersama di seluruh negara.

    Semua pekerja yang telah mendaftar untuk kempen itu boleh memperoleh BruPoints yang boleh dibelanjakan dalam aplikasi di BruPoints Mall untuk membeli baucar dan menebus hadiah lain.

    Hari Terbuka EWI Wellness juga termasuk pemeriksaan kesihatan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan, ceramah kesihatan dari Pusat Promosi Kesihatan, manakala pada sebelah petang ceramah daripada Fuel Brunei selain turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kecergasan dan permainan di South Lawn, ibu pejabat bank berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda