Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran kritikal institusi kekeluargaan

    Oleh Sakini Mohd Said

    KUALA LUMPUR – Institusi kekeluargaan adalah tulang belakang kepada pembangunan insan ke arah pembentukan sebuah negara yang sejahtera dan Malaysia tidak terkecuali.

    I ni kerana keluarga merupakan jalinan ikatan pertama yang dikenali kanak-kanak dan atas sebab itulah fungsinya sentiasa diberi penekanan penting dalam melahirkan generasi masa depan yang berkualiti.

    Biarpun demikian, realiti yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Hakikat yang harus diakui walaupun agak pahit untuk ditelan adalah daya tahan institusi keluarga masa kini berdepan situasi kritikal dalam menjamin penghasilan serta kelangsungan modal insan negara.

    Ini berikutan cabaran globalisasi mahupun pembangunan pesat ekonomi pesat sedikit sebanyak mengancam pengukuhan kesejahteraan keluarga. Masalah ini bukanlah hanya berlaku di Malaysia tetapi turut menjadi polemik global.

    Situasi ini membimbangkan kerajaan malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa merasmikan Seminar Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) pada Julai lepas turut menyentuh mengenai kesejahteraan kekeluargaaan yang semakin goyah.

    Beliau dalam satu laporan media dipetik sebagai berkata “masalah kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga kian meruncing sehingga menyumbang kepada pelbagai gejala keruntuhan akhlak seperti sumbang mahram, penderaan anak, keganasan rumah tangga, seks sebelum nikah serta menonton video lucah.”

    Kuasa keluarga

    Semestinya, isu ini tidak boleh dipandang ringan apatah lagi statistik Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan terdapat seramai 4,992 anak tidak sah taraf dilahirkan remaja berusia 18 tahun ke bawah pada 2017.

    Manakala sehingga Jun 2018, bilangan anak tidak sah taraf dilahirkan remaja berusia bawah 18 tahun adalah seramai 1,664 orang sementara bagi kes pembuangan anak damit pula sebanyak 120 kes buang anak damit direkodkan sepanjang 2017.

    “Angka-angka ini menunjukkan bahawa peranan keluarga perlu diupayakan, diperkukuh serta diberi nilai tambah agar mampu mengawal dan membendung ahli keluarga masing-masing supaya tidak terjerumus dalam gejala negatif,” kata Dr Wan Azizah dalam satu petikan berita. Apa yang berlaku ini sudah tentu bukan sahaja menyedihkan tetapi mengecewakan! Dalam usia yang masih muda, remaja melahirkan anak tidak sah taraf itu sepatutnya berada di bangku sekolah dan mempunyai kerjaya.

    Mengulas mengenai perkara ini, Perunding Psikologi Keluarga, Bina Bahagia Services, Suzana Ghazali berkata institusi keluarga yang longgar memudahkan golongan muda tersebut terpengaruh dengan aktiviti negatif mahupun terperdaya oleh sesetengah pihak yang sengaja mengambil kesempatan ke atas mereka.

    “Keruntuhan institusi kekeluargaan dengan ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan kasih sayang dan pendidikan agama, kemerosotan dari segi asuhan dan bimbingan untuk anak-anak dilihat sebagai salah satu puncanya selain pengaruh rakan sebaya.

    “Anak yang rasa dirinya dihargai oleh ibu bapa biarpun ilmu agama kurang, pasti akan menghindarkan diri daripada melakukan pelbagai aktiviti tidak sihat sebab mahu menjaga air muka ibu bapa mereka,’ katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

    Tidak bersedia

    Berpengalaman lebih 20 tahun dalam profesion perunding psikologi keluarga, beliau yang juga seorang peguam syarie berkata masalah berlaku apabila anak berasa kehadiran diri mereka tidak dihargai. Mereka juga berasa diabaikan kerana kesibukan ibu bapa yang bekerja di samping wujud pilih kasih antara adik beradik menyebabkan mereka tidak kisah untuk menconteng arang di muka ibu bapa.

    Malah, mereka akan berbangga pula dengan perilaku tidak bermoral tersebut kerana dapat menarik perhatian orang tua serta menyalahkan ibu bapa atas apa yang menimpa ke atas diri.

    “Kita harus ingat kuasa dan potensi keluarga dalam memerangi gejala sosial yang melanda remaja adalah lebih besar dan lebih bermakna daripada segala kekuatan semua agensi penguatkuasaan yang digabungkan untuk menangani masalah sosial,” katanya.

    Berdasarkan pengamatan Suzana sepanjang menawarkan perkhidmatan perunding psikologi keluarga, beliau mendapati majoriti ibu bapa hari ini belum bersedia dan tidak memahami akan tugas mahupun tanggungjawab yang dipikul sebaik dikurniakan cahaya mata.

    Ini kerana, kebanyakannya beranggapan kemahiran keibubapaan yang diwarisi daripada ibu ayah mereka sebelum ini sudah mencukupi untuk mendidik anak remaja menjadi modal insan berkualiti buat negara. Walhal kepercayaan persepsi dan amalan tersebut sebenarnya tidak boleh lagi dijadikan sandaran sepenuhnya memandangkan skop persekitaran hari ini yang sudah jauh berbeza berbanding zaman mereka dibesarkan.

    “Situasi sudah banyak berubah. Sekarang bukan sahaja bapa bekerja tetapi ibu juga bekerja bagi menampung cabaran kewangan disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

    “Disebabkan itu, ibu bapa perlu sentiasa menambah dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran tambahan bagi menghadapi perubahan institusi keluarga serta memastikan anak tidak terasa terabai. Kesibukan bekerja bukanlah alasan untuk mengabaikan anak,” katanya.

    Kaum bapa

    Mengulas mengenai pengukuhan kemahiran keibubapaan, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah berkata hasil kajian yang dilakukan agensi ini mendapati tidak ramai ibu bapa yang berminat untuk menyertai kursus keibubapaan.

    Paling menyedihkan adalah penyertaan kaum bapa yang kurang menunjukkan komitmen menghadiri kursus.

    Berdasarkan penemuan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima, 2014, hanya 38.2 peratus lelaki pernah berkahwin menghadiri kursus atau ceramah berkaitan kekeluargaan (selain daripada Kursus Pra Perkahwinan) di Malaysia.

    Ini berbanding peratusan wanita pernah berkahwin yang pernah menghadiri sebarang kursus atau ceramah berkaitan kekeluargaan iaitu sebanyak 48.0 peratus. “Kita mendapati punca mengapa tidak ramai kaum bapa menyertai kursus disebabkan mereka beranggapan mendidik anak merupakan tugas kaum ibu selain ada sedikit faktor ego. Disebabkan itu, LPPKN mengambil inisiatif untuk mula menawarkan kursus khas hanya untuk kaum bapa mulai 2019.

    “Mereka tidak boleh lagi memandang remeh kepentingan kemahiran tambahan mendidik anak mereka apatah lagi kita berada dalam dunia siber dan ke arah Industri 4.0,” katanya.

    Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima 2014 menunjukkan medium komunikasi dalam kalangan remaja dengan ibu bapa adalah melalui telefon (73.0 peratus), sistem pesanan ringkas (54.6 peratus) dan media sosial (15.6 peratus). Ini menunjukkan penggunaan gajet yang begitu ketara dalam kehidupan keluarga hari ini.

    Sementara itu, laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2016 menunjukkan skor bagi indikator kawalan terhadap penggunaan teknologi komunikasi agak rendah iaitu 5.28 daripada skala 10. Ini membimbangkan kerana penggunaan teknologi tanpa pemantauan dan kawalan ibu bapa mendedahkan anak remaja ini kepada risiko menyalahgunakan perkhidmatan tersebut yang sudah tentu boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai gejala sosial. -Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda