Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Perpustakaan DBP Muara / Akademi Usahawan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi warisan makanan tradisi Melayu Brunei dalam kalangan generasi masa kini, Akademi Usahawan yang dipengerusikan oleh belia tempatan, Awang Mohammad Zafren bin Mohd Said, telah mengambil inisiatif mengadakan cabaran membuat kuih tradisional Melayu di Perpustakaan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Muara, kelmarin.
Cabaran tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada 20 peserta, terdiri daripada usahawan tempatan lelaki dan perempuan, yang bersaing secara sihat untuk menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional basah dan kering.
Aktiviti itu merupakan sebahagian daripada Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai anak muda.
Tujuannya adalah untuk memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan mereka agar dapat menjadi lebih berdikari dalam bidang keusahawanan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik yang disempurnakan oleh Ketua Cawangan Perpustakaan DBP Muara, Awang Hanif bin Moksin yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis tersebut.

