Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Isu labour turnover (pusing ganti buruh), sememangnya lumrah dalam pasaran kerja yang dinamik dan kompetitif, sama ada di negara lain mahupun di Brunei.
Pekerja wajar bertukar tempat kerja jika ditawarkan kemudahan dan faedah yang lebih menarik, tempat kerja yang lebih kondusif dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, pusing ganti buruh mungkin memberi cabaran tertentu kepada operasi pernia-gaan syarikat di sektor swasta.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai langkah pihak Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan pihak berkepentingan dalam menangani pusing ganti buruh yang tinggi di sektor swasta semasa Persidangan MMN ke-21 di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Yang Berhormat Dato menjelaskan pada 2024, JPM melalui MPEC telah mengendalikan satu kajian Employer-Based Survey (EBS) bertujuan mengetahui pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh para majikan di sektor swasta dengan pengambilan pekerja baharu dan mengekalkan pekerja tempatan.

Lebih daripada 500 buah syarikat telah memberi maklum balas dengan lebih 60 peratus daripada majikan menghadapi cabaran dalam mengekalkan pekerja tempatan.
Mereka menyuarakan bahawa pekerja tempatan lazimnya beralih kepada pekerjaan baharu disebabkan oleh peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah lebih baik, sama ada dari segi gaji mahu pun peluang perkembangan kerjaya.
Pihak syarikat mengongsi langkah-langkah yang telah dilaksanakan dalam menangani isu pusing ganti buruh, termasuk mewujudkan suasana kerja yang lebih baik, menawarkan gaji, elaun dan faedah yang lebih kompetitif serta menghargai sumbangan pekerja masing-masing.
“Langkah-langkah ini sangat dialu-alukan bagi menarik dan mengeka-lkan anak-anak tempatan dalam sesuatu pekerjaan memandangkan perkara ini bukanlah untuk ditangani oleh pihak kerajaan sahaja,” kata Yang Berhormat Dato. “Ianya memerlukan usahasama daripada semua pihak.”
Menyentuh mengenai gaji, Yang Berhormat Dato menyatakan kerajaan telah memperkenalkan Perintah Pekerjaan (Upah Minimum) 2025 sebagai salah satu usaha untuk memastikan pekerja-pekerja di sektor swasta menerima pendapatan yang berpatutan dan menggalakkan amalan pekerjaan yang adil.
Jabatan Buruh telah melaksanakan pemantauan ke atas pelaksanaan upah minimum Fasa Pertama yang menunjukkan bahawa pekerja tempatan telah memperoleh manfaat daripada penguatkuasaan Perintah Upah Minimum di mana pekerja-pekerja yang menerima gaji di bawah kadar upah minimum telah diberikan gaji pada kadar yang ditetapkan serta ada sebilangan daripada mereka telah menerima gaji yang melebihi $500 sebulan.
Manakala berdasarkan analisis gaji pekerja bagi Fasa Kedua pula, seramai 700 orang dijangka menerima gaji di bawah kadar upah minimum di mana gaji mereka akan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya $500 sebulan.
Walau bagaimanapun, impak sebenar hanya akan diketahui setelah penguatkuasaan Jabatan Buruh di mana syarikat-syarikat terlibat akan menghadapkan borang deklarasi dan salinan perjanjian pekerjaan mereka kepada Jabatan Buruh.
Yang Berhormat Dato seterusnya menekankan bahawa upah minimum itu gaji asas dan bukanlah bertujuan untuk digunakan sebagai asas gaji kompetitif. Tujuannya juga adalah bagi menangani isu kadar pusing ganti buruh yang tinggi.
Oleh itu, beliau menyeru para majikan dan pengusaha untuk menawarkan pakej gaji yang bukan saja berpatutan, namun juga berdaya saing sebagai daya tarikan untuk menarik dan mengekalkan bakat yang berkemahiran di sektor swasta.
Manakala itu, Kajian EBS turut mendapati lebih 35 peratus majikan yang menghadapi cabaran mengekalkan pekerja tempatan disebabkan oleh pekerja yang berhenti tanpa notis.
Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyeru para pekerja dan pencari kerja untuk mengamalkan etika dan tatacara bekerja yang profesional termasuk menjalinkan komunikasi yang telus dengan majikan, supaya dapat memelihara reputasi dan integriti pekerja dalam industri serta memberi manfaat kepada peluang kerjaya pada masa hadapan.
Dari segi menimba pengetahuan dan kemahiran yang bermakna, majikan dan pekerja di sektor swasta boleh memanfaatkan program upskilling dan reskilling melalui kursus-kursus pendek di bawah Program SkillsPlus, Program SPIN dalam Bidang Perakaunan dan HSE Competency Apprenticeship, yang dianjurkan oleh Pusat Pekerjaan Brunei.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyeru semua pihak termasuk pencari kerja, majikan dan pekerja di sektor swasta, untuk merebut peluang itu bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang disediakan.