Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran Larian PBMP galak gaya hidup aktif

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Dalam usaha untuk menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan warga kerjanya, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) telah mengadakan acara penyampaian hadiah bagi Cabaran Larian PBMP yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Ibu Pejabat PBMP di Jalan Pelabuhan, Muara, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PBMP, di sini, cabaran larian berkenaan merupakan satu inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga kerja PBMP.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang cabaran berkenaan ialah Ketua Eksekutif PBMP, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman.

    Cabaran tersebut menyaksikan enam peserta muncul sebagai pemenang dalam kategori lelaki dan kategori wanita. Pemenang ditentukan berdasarkan kepada aktiviti tunggal terpanjang dengan jarak terjauh yang ditempuhi.

    Bagi kategori lelaki, Pengiran Muhammad Mazni bin Pengiran Saifuddin muncul sebagai juara dengan jarak larian sejauh 30.3 kilometer (km) dalam masa dua jam 45 minit, sementara Awang Mohamad Amirol Dani bin Haji Mohamad Gani pula di tempat naib juara dengan jauh larian 25.0km, manakala Awang Ali Rusydi bin Muamad pula di tempat ketiga dengan larian sejauh 23.6km.

    Bagi kategori wanita pula, Dayangku Aina Syasya binti Pengiran Amiruddin dinobatkan juara dengan jauh larian 15.3km, sementara Dayang Nur Filzah binti Norman di tempat naib juara dengan larian sejauh 15.0km, manakala Dayang Norhafizah binti Ismail pula di kedudukan ketiga dengan larian sejauh 10.5km.

    Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Kapten (B) Zil Husam menggalakkan warga PBMP untuk mengekalkan kesihatan dan aktif secara fizikal supaya dapat menyumbang secara optimum ke arah memenuhi peranan dan fungsi PBMP untuk berkhidmat kepada negara dan masyarakat maritim.

    Bagi memastikan momentum berkenaan dikekalkan, beliau turut melancarkan Siri Kesejahteraan PBMP, iaitu sebuah program untuk kakitangan PBMP, yang menampilkan beberapa siri aktiviti dan inisiatif bulanan yang didedikasikan untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

    Acara diakhiri dengan perlawanan badminton persahabatan dan sesi zumba untuk kakitangan PBMP.

    Ketua Eksekutif PBMP bergambar ramai bersama para pemenang cabaran berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PBMP
    Sesi zumba yang diadakan untuk kakitangan PBMP. – GAMBAR SERAHAN PBMP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda