Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 26 April – Puluhan penggemar kereta tahan lasak telah menyertai Cabaran 4×4 Kuala Ungar di Mukim Rambai, Daerah Tutong anjuran Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) yang bermula hari ini.
Cabaran yang akan berlangsung sehingga 28 April berkenaan menyaksikan lebih 26 buah kereta pacuan empat roda berentap dalam Kategori Amatur dan Rally dengan acara hari ini telah dilancarkan oleh tetamu kehormat yang juga Pemangku Ketua Kampung Ungar, Awang Sani bin Singkang.
Selain menguji kepakaran, acara berkenaan juga diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan para pengemar dan peminat pacuan empat roda di negara ini sambil memberi pendedahan kepada mereka agar mengutamakan aspek keselamatan dan disiplin ketika mengendalikan kenderaan dalam suasana yang mencabar.
