Saturday, February 15, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran mahu berkahwin dengan orang luar

    Salam semua. Saya menulis di ruangan ini untuk meluahkan kesedihan saya, yang saya harap dapat memberikan semangat kepada saya untuk meneruskan kehidupan.

    Ceritanya begini, saya ketika ini sedang menjalinkan hubungan cinta bersama seorang wanita warganegara asing yang bukan beragama Islam.

    Semasa awal perkenalan kami, pihak keluarga saya tidak mempunyai halangan kami berkawan tetapi selepas saya meluahkan niat kami untuk mendirikan rumah tangga, semua orang tidak bersetuju dengan keputusan kami.

    Antara alasan yang mereka berikan ialah saya mungkin tidak mampu memimpin kekasih saya dengan baik daripada segi agama setelah kami mendirikan rumah tangga.

    Kekasih saya memang memasang niat untuk memeluk Islam dan ketika ini sudah mendalami ilmu agama dengan bertanya-tanya kepada ustazah tetapi pihak keluarga berkata ditakuti dia tidak ikhlas untuk masuk Islam dan hanya sekadar mencukupkan syarat untuk kami berkahwin.

    Gambar Pexels

    Saya kecewa dengan alasan yang mereka berikan kerana bagi saya, salahkah hendak berkahwin dengan orang luar yang bukan daripada bangsa sendiri? Lagipun saya tahu bahawa kekasih saya itu ikhlas hendak masuk Islam bukan kerana saya.

    Pernah terfikir dalam hati saya untuk lari dari rumah dan pastinya tindakan saya ini akan mengeruhkan lagi keadaan. Saya harap dengan luahan hati saya ini kesedihan yang dirasakan sedikit terubat.

    Awang

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih kepada Awang yang sudi berkongsi.

    Pertama sekali, Dang ingin mengingatkan Awang dan juga pembaca semua tentang mendirikan satu perkahwinan. Haruslah kita ingat bahawa, perkahwinan bukan hanya tentang penyatuan dua individu, tetapi juga menyatukan dua keluarga besar yang bermaksud kita akan mendapat ibu bapa mertua dan juga adik-beradik ipar serta dengan saudara-mara yang lainnya. Pastikan persediaan mental, fizikal, dan rohani sudah cukup matang sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Ditambah dengan situasi melibatkan keluarga berlainan agama seperti Awang dan kekasih mungkin perlu dilihat dengan penuh teliti.

    Namun, ini bukan bermakna ia mustahil dan sudah pastilah ada pasangan seperti Awang yang telah berjaya mengharunginya. Sebagai langkah awal, Awang dan pasangan haruslah berbincang secara terbuka dengan pasangan dan keluarganya. Teruskan berbuat baik dan berusaha memujuk kedua-dua belah keluarga tentang niat baik, keikhlasan dan kesungguhan awda berdua untuk mendirikan keluarga.

    Dang MP juga cadangkan supaya Awang dan kekasih melibatkan diri dengan komuniti mualaf untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar-pakar seperti kaunselor, para agamawan atau rakan-rakan mualaf yang boleh dipercayai. Sertai program-program yang dianjurkan komuniti untuk menambah ilmu sebagai seorang mualaf dan juga mencari kenalan mualaf-mualaf yang lain. Kemungkinan mereka boleh berkongsi kisah yang boleh dijadikan panduan untuk Awang dan kekasih. Sudah pasti ada antara ahli komuniti yang telah berjaya mengharungi cabaran yang sama seperti Awang yang boleh dijadikan teladan.

    Sebagai penutup, sentiasalah berfikir positif dan fikirkan betapa indah dan uniknya keluarga Awang dan kekasih bakal dirikan yang datang dari dua latar belakang yang berlainan. Dang berharap agar usaha-usaha Awang dan kekasih berhasil dan niat suci Awang dan kekasih akhirnya dapat ditunaikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda